TOKYO: Pihak berkuasa Jepun menggesa 89 penduduk di sebuah kecil di selatan negara itu untuk berpindah selepas gempa bumi kuat melanda semalam, insiden terbaharu daripada lebih 1,000 gegaran yang berlaku di kawasan tersebut sejak dua minggu lalu.
Menurut Utusan Malaysia, pegawai perbandaran memberitahu AFP, penduduk diminta untuk berpindah ke padang sekolah di Pulau Akuseki.
Akuseki merupakan sebahagian daripada gugusan pulau Tokara yang terletak di selatan wilayah Kyushu dan direkodkan mengalami 1,031 gegaran sejak 21 Jun lalu.
Bagaimanapun, tiada kerosakan besar dilaporkan setakat ini.
Arahan pemindahan itu kemudiannya ditarik balik selepas semua penduduk disahkan selamat.
Gempa bumi terbaharu itu berlaku sehari selepas gegaran berskala sama direkodkan di kawasan berkenaan.
Menurut Agensi Meteorologi Jepun (JMA), tujuh daripada 12 pulau dalam gugusan Tokara dihuni manusia, dengan keseluruhan penduduk sekitar 700 orang.
Pengarah bahagian pemantauan gempa bumi dan tsunami JMA, Encik Ayataka Ebita memaklumkan tiada risiko tsunami berikutan gempa bumi semalam.
“Namun di kawasan yang menerima gegaran kuat, risiko rumah runtuh dan kejadian tanah runtuh tetap meningkat,” katanya dalam satu sidang media.
Beliau turut menasihatkan penduduk supaya berwaspada terhadap kemungkinan berlaku lebih banyak gegaran pada magnitud yang hampir sama dalam tempoh terdekat.
Kawasan Tokara sebelum ini pernah mengalami tempoh aktiviti seismik yang luar biasa, antaranya pada September 2023 apabila sebanyak 346 gempa bumi direkodkan dalam tempoh singkat.
Jepun merupakan antara negara paling aktif secara seismik di dunia kerana kedudukannya yang terletak di atas pertemuan empat plat tektonik utama di kawasan yang dikenali sebagai Lingkaran Api Pasifik.
Negara kepulauan itu, yang dihuni kira-kira 125 juta penduduk, lazimnya mengalami lebih 1,500 gegaran setiap tahun dan menyumbang kira-kira 18 peratus daripada jumlah gempa bumi di seluruh dunia.
































