PAPAR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) meneruskan usaha memperkasa sektor peruncitan tempatan, khususnya di luar bandar, melalui pelaksanaan Inisiatif Pendigitalan Sektor Peruncitan atau Retail Digitalisation Initiative (ReDI).
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd. Ali berkata, inisiatif tersebut bertujuan memperkenalkan kaedah perniagaan berasaskan digital seperti penggunaan e-wallet dalam kalangan peniaga tempatan agar lebih berdaya saing dan bersedia menghadapi cabaran ekonomi masa kini.
“Pendekatan ini adalah selari dengan hasrat kerajaan untuk membangunkan ekosistem masyarakat tanpa tunai atau cashless society, bukan hanya tertumpu di kawasan bandar, tetapi diperluas ke kawasan luar bandar di seluruh negara,” katanya dalam kenyataan media selepas melakukan pelepasan Kembara ReDI Borneo 2025 di sini hari ini.
Program Kembara selama 10 hari itu bermula pada 26 Jun 2025 di Sematan, Sarawak dan dijadualkan berakhir di Tawau, Sabah pada 5 Julai ini. Program ini menjadi platform penting memberi pendedahan kepada peniaga luar bandar mengenai operasi perniagaan digital serta manfaat penggunaan sistem pembayaran tanpa tunai.
Menurut Armizan, antara manfaat ReDI termasuk pengurusan kewangan lebih efisien, peluang perkembangan perniagaan, pelbagai pilihan pembayaran kepada pelanggan serta pengurusan inventori yang lebih teratur dan sistematik.
“Pelaksanaan ReDI disokong oleh rakan strategik termasuk Bank Negara Malaysia, PayNet serta syarikat penyedia e-wallet berdaftar seperti Touch ‘n Go eWallet, GrabPay, ShopeePay, MAE Maybank, Boost dan SPay Global,” jelas beliau.
Sejak dilancarkan pada 27 Ogos 2022 sehingga 31 Mei 2025, KPDN berjaya membantu seramai 22,368 peniaga mendaftar dengan e-wallet di seluruh negara. Jumlah itu melebihi sasaran 100 peratus daripada 15,000 peniaga yang ditetapkan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) menjelang tahun 2025.
Untuk tahun ini sahaja, dari 1 Januari hingga 31 Mei 2025, seramai 3,229 peniaga baharu telah berdaftar di seluruh negara melalui ReDI. Daripada jumlah itu, 1,120 adalah peniaga di Sabah manakala 1,799 lagi di Sarawak.
Lebih membanggakan, selepas lima hari pelaksanaan Kembara ReDI Borneo 2025, jumlah peniaga yang berdaftar di Sabah dan Sarawak sahaja telah meningkat kepada 3,708 orang.
“Pencapaian ini membuktikan bahawa peniaga luar bandar juga bersedia menerima perubahan dan memanfaatkan teknologi digital untuk mengembangkan perniagaan mereka,” kata Armizan lagi.
Tambahnya, KPDN akan terus memperluas inisiatif ReDI ke lebih banyak lokasi termasuk kawasan pedalaman agar tiada kumpulan peniaga yang ketinggalan dalam arus pendigitalan negara.
































