Saifuddin Nasution Ismail
HULU TERENGGANU: Tiada rakyat Malaysia direkrut dalam gerakan militan radikal berpaksikan fahaman ekstremis dan ideologi keganasan berkaitan warga Bangladesh yang ditahan, baru-baru ini.
Menurut Utusan Malaysia, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, hasil siasatan Pasukan Cawangan Khas Polis Diraja Malaysia (PDRM) mendapati, kumpulan membawa masuk fahaman pelampau itu hanya rakyat warga Bangladesh.
“Berdasarkan siasatan, sehingga sekarang aktiviti tersebut hanya terkait dengan keganasan dan ada motif untuk menjatuhkan kerajaan di negara asal (Bangladesh) mereka sahaja.
“Kalau ada sebarang percubaan untuk jadikan Malaysia sebagai pengkalan bagi menggerakkan apa-apa aktiviti keganasan atas apa motif sekalipun, sikap dan pendirian diambil oleh kerajaan adalah kita banteras habis-habisan.
“Keutamaan kita adalah mengekalkan keamanan dan ketenteraman awam. Penting untuk hebahkan kepada rakyat, pasukan keselamatan kita berada pada tahap siap-siaga yang tinggi. Kalau aktiviti ini tidak dibendung atau ditangani sambil lewa, ia memberi kesan besar kepada keselamatan negara,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Peluncuran Kampung Angkat Madani dan Sekolah Angkat Madani Jabatan Sukarelawan Malaysia 2025 di Kuala Berang, di sini kelmarin.
Terdahulu, PDRM menumpaskan satu rangkaian militan warga asing dengan penahanan 36 warga Bangladesh yang disyaki terlibat secara langsung dalam gerakan militan radikal berpaksikan fahaman ekstremis dan ideologi keganasan.
Sementara itu, beliau berkata, peranan Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) akan diperkukuh dalam masa terdekat dengan diterajui PDRM bersama sokongan agensi-agensi lain.
Menurutnya, sebelum ini NSRC ada empat agensi yang kawal selia termasuk MCMC (Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia), Bank Negara dan polis.
“Apabila empat agensi yang kawal selia, cara operasinya tidak begitu kemas. Jadi apabila ia diperkukuh, yang menerima panggilan (aduan) adalah polis yang bertugas, butiran diambil dan kita akan maklumkan kepada bank untuk bank ambil langkah pertama dengan bekukan akaun bank mangsa secepat mungkin.
“Langkah pengukuhan tersebut juga akan melibatkan pengoperasian 24 jam talian Hotline NSRC 997 yang membolehkan mangsa membuat aduan pada bila-bila masa, selain bilangan kakitangan pusat tersebut akan bertambah,” ujarnya.
































