Mohd. Khalid Ismail
KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan terdapat tangkapan warga Bangladesh yang disyaki terlibat dalam gerakan militan berasaskan fahaman Islamic State (IS) ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma).
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd. Khalid Ismail berkata, tindakan itu dilakukan hasil siasatan dijalankan pihaknya susulan penahanan 36 warga Bangladesh dipercayai terbabit dengan radikal keganasan itu.
“Setakat ini kita menahan 36 warga asing iaitu Bangladesh, ada yang kita simpan dan kita tahan di bawah Sosma.
“Selebihnya kita telah usir keluar dan beberapa lagi masih dalam tahanan dan memerlukan siasatan lanjut,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Serah Terima Tugas (STT) Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah di Bukit Aman di sini hari ini.
Menurut beliau, maklumat lanjut berhubung siasatan akan didedahkan dalam sidang akhbar di Bukit Aman esok.
“Saya akan berikan maklumat lanjut esok atau lusa di Bukit Aman,” katanya.
Jumaat lalu, media melaporkan PDRM menumpaskan satu rangkaian militan warga asing dengan penahanan 36 warga Bangladesh yang disyaki terbabit secara langsung dalam gerakan militan radikal berpaksikan fahaman ekstremis dan ideologi keganasan.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dilaporkan berkata, penahanan dilakukan menerusi tiga fasa operasi keselamatan terancang di sekitar Selangor dan Johor bermula 24 April lalu.
Dalam operasi terbabit, lima daripada mereka dikenal pasti terlibat di bawah Bab VIA Kanun Keseksaan dan telah didakwa di Mahkamah Seksyen Shah Alam serta Johor Bahru.
“Sebanyak 15 individu lagi telah dikenakan perintah pengusiran manakala 16 individu sedang disiasat terkait penglibatan mereka dalam gerakan militan itu,” katanya.
Siasatan awal mendapati mereka masuk ke Malaysia sebagai pelajar dan pekerja asing sebelum kegiatan mereka dikesan pihak berkuasa.
Difahamkan, operasi menahan semua suspek dilakukan antara 23 Mei hingga 11 Jun lalu di sekitar Lembah Klang dan Seremban, hasil maklumat risikan Cawangan Khas Bukit Aman yang menyasarkan rangkaian militan asing yang menjadikan Malaysia sebagai lokasi transit, rekrut dan kutipan dana.


































