Redonah bersama Wanita Gabunga Rakyat Sabah (GRS) Dun Bandau.
KOTA MARUDU: Ketua Wanita Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Redonah Bahanda menyeru jentera Wanita Gagasan Rakyat atau G10 di peringkat akar umbi sehingga pimpinan peringkat bahagian untuk bekerjasama dalam mendekati masalah rakyat khasnya berkaitan isu kebajikan dan keperluan rakyat.
Katanya, kebajikan rakyat dan isu keperluan rakyat meliputi aspek perumahan, bantuan perubatan bagi yang memerlukan dan pemantauan dari segi pendidikan anak-anak.
“Saya lihat, isu kebajikan rakyat adalah isu yang ada disemua tempat, tidak kira di negeri mana sekalipun, pasti ada rakyat kita yang mempunyai masalah khasnya dari segi kebajikan mereka, tempat tinggal dan pendidikan anak-anak.
“Lebih menyedihkan lagi apabila ada yang menghidap penyakit kronik atau tergolong dalam orang kelainan upaya (OKU) yang sewajarnya sentiasa menjadi perhatian dan keutamaan bagi pemimpin di kawasan masing-masing kerana sememangnya tugas seorang pemimpin dan ahli parti itu sendiri adalah berkhidmat untuk rakyat,” katanya selepas Program Ziarah Sayang Wanita GRS Dun Bandau melibatkan empat buah keluarga dalam PDM Tagaroh di sini kelmarin.
Redonah yang juga Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri menegaskan bahawa kebajikan rakyat yang paling perlu dipandang serius adalah isu perumahan dan pendidikan anak-anak.
“Masih banyak rakyat yang berada dalam kategori miskin tegar dan perlu dibantu, masih tidak mendapat kediaman yang selayaknya, misalnya perumahan untuk rakyat termiskin dan bantuan persekolahan untuk anak-anak mereka.
“Kita harus ambil tahu bahawa kepayahan mereka dalam meneruskan kehidupan dan mencari sesuap nasi adalah amat perik dan anak-anak mereka juga berjuang demi mendapatkan pendidikan,” katanya
Turut hadir wakil daripada empat komponen parti iaitu Kelista Jaitin (Ketua Wanita PCS), Zulaikha (Ketua Penerangan Wanita StarSabah Bandau), Chris (Ketua Penerangan Wanita PBS Bandau) dan ahli jawatan kuasa Wanita Usno yang telah memberikan komitmen penuh dalam menjayakan program ini.
Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada Jaimah Angai (Naib Ketua Wanita Gagasan Rakyat Bandau), Dayang Lansiu (Penolong Setiausaha Gagasan Rakyat Bandau), Jaisey Mosimpun (AJK Wanita Gagasan Rakyat), Launi Malingkat (AJK Wanita Gagasan Rakyat), Rahmah Labit, (AJK Wanita Gagasan Rakyat), OKK Mohamad Mamat (Ketua Daerah Mahkamah Anak Negeri Kota Marudu) dan Balanga Timbuong (Ketua Makhamah Anak Negeri Dun Bandau) serta pemimpin masyatakat dari Kampung Togop, Kampung Wani dan Taginambur Baru.


































