Donald Trump
THE HAGUE: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump menyifatkan keputusan negara-negara anggota Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) untuk meningkatkan perbelanjaan pertahanan kepada lima peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebagai satu kemenangan besar untuk tamadun Barat.
Menurut Utusan Malaysia, kenyataan itu dibuat dalam sidang media di The Hague sempena sidang kemuncak pertahanan NATO di mana beliau turut mengulangi komitmen AS terhadap pakatan ketenteraan tersebut.
Sidang kemuncak itu menyaksikan kebanyakan negara anggota Eropah dan Kanada bersetuju menambah berbilion dolar kepada bajet pertahanan mereka.
Walaupun Trump menyelar Sepanyol kerana enggan menyertai komitmen tersebut dan mengkritik laporan CNN serta The New York Times yang mempersoalkan keberkesanan serangan udara AS terhadap tapak nuklear Iran, nada keseluruhannya terhadap NATO kekal positif.
Trump menggambarkan sidang itu sebagai peristiwa bersejarah dengan komitmen rasmi NATO untuk meningkatkan perbelanjaan pertahanan ke paras lima peratus KDNK menjelang 2035, sasaran yang dianggap mustahil.
Daripada jumlah tersebut, 3.5 peratus akan diperuntukkan kepada perbelanjaan ketenteraan teras manakala selebihnya akan merangkumi infrastruktur, perisikan, keselamatan siber dan bidang lain yang boleh diselaraskan oleh anggota sedia ada.
Trump menamakan inisiatif ini sebagai Komitmen Pertahanan The Hague dan menyifatkannya sebagai kemenangan monumental bagi AS kerana negara itu selama ini menanggung beban yang terlalu berat.
Katanya, ia juga kejayaan besar untuk Eropah dan tamadun Barat kerana Eropah kini akan lebih bertanggungjawab.
































