PETALING JAYA: Harga minyak jatuh ke paras terendah dalam tempoh lebih seminggu pada Selasa setelah Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengumumkan satu gencatan senjata telah dipersetujui antara Iran dan Israel.
Menurut Utusan Malaysia, niaga hadapan Brent susut sebanyak AS$2.08 (RM8.83) atau 2.9 peratus kepada AS$69.40 (RM294.76) setong sekitar pukul 3.30 pagi GMT, selepas sebelum itu merosot lebih empat peratus dan mencecah paras terendah sejak 11 Jun.
Sementara itu, minyak mentah West Texas Intermediate (WTI) AS jatuh AS$2.03 (RM8.62) atau 3.0 peratus kepada AS$66.48 (RM282.36) setong, selepas menjunam sebanyak enam peratus ke paras terendah sejak 9 Jun dalam dagangan awal sesi.
Penganalisis ekonomi UniKL Business School, Prof. Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, penyusutan ini berdasarkan kepada perkembangan semasa dengan pengumuman gencatan sementara oleh Iran, setelah naik mendadak sebelum ini akibat konflik di Asia Barat.
Katanya, penurunan harga minyak ini juga disebabkan pembetulan teknikal selepas kenaikan harga yang mendadak.
“Indikator yang perlu dipantau adalah perkembangan semasa perang Iran dan Israel. Apakah ia akan merebak dengan melibatkan negara-negara lain terutama negara besar seperti AS, China dan Russia?
“Sekiranya ia berlarutan, maka harga minyak akan kekal di paras tertinggi malah mungkin mencapai paras yang lebih tinggi, terutamanya penutupan Selat Hormuz yang menjadi laluan utama lebih 20 peratus kepada bekalan minyak mentah dunia,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Ketika ditanya sama ada, pergerakan harga minyak ini memberi impak kepada mata wang negara, beliau berkata, ringgit tidak terlalu dipengaruhi oleh kenaikan atau penurunan harga minyak kerana faktor seperi dasar monetari negara dan lebih lagi AS adalah lebih signifikan dalam pergerakan nilai ringgit.
Sementara itu, penganalisis ekonomi, Prof Madya Dr. Abu Sofian Yaacob berkata, kejatuhan harga ini berpotensi bersifat sementara dan bergantung kepada sejauh mana gencatan senjata dipatuhi oleh kedua-dua pihak.
Beliau berkata, indikator lain yang perlu dipantau termasuk situasi di Selat Hormuz iaitu laluan utama penghantaran minyak dan perubahan dalam eksport minyak Iran, terutama jika sekatan dilonggarkan
Katanya, perhatian juga perlu diberikan kepada reaksi pasaran terhadap perkembangan geopolitik lanjut, termasuk tindakan AS
“Kebergantungan Malaysia terhadap eksport minyak dan gas bermaksud kejatuhan harga minyak boleh melemahkan nilai ringgit. Ini kerana hasil eksport negara akan berkurangan, sekali gus mengurangkan aliran masuk mata wang asing.
“Nilai ringgit sangat dipengaruhi oleh harga komoditi utama seperti minyak mentah, penurunan harga boleh menjejaskan imbangan dagangan dan keyakinan pelabur terhadap ekonomi Malaysia.
Tambah beliau, analisis teknikal juga menunjukkan rintangan harga sekitar AS$78.40 (RM332.80) hingga AS$80.77 (RM342.86) dan dijangka hanya berita buruk besar berkaitan bekalan yang boleh memecah paras itu.
Trump mengumumkan pada hari Isnin bahawa Israel dan Iran telah bersetuju sepenuhnya dengan gencatan senjata, sambil menambah bahawa Iran akan memulakan gencatan senjata serta-merta, diikuti oleh Israel selepas 12 jam.
Jika kedua-dua pihak mengekalkan keamanan, perang akan tamat secara rasmi selepas 24 jam, mengakhiri konflik selama 12 hari.
































