Donald Trump
WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, mengumumkan pada Selasa bahawa China boleh terus membeli minyak dari Iran.
Menurut Utusan Malaysia, kenyataan Trump itu dilihat memberi sedikit kelegaan kepada Teheran di tengah tekanan sekatan yang sebelum ini dikenakan Washington bagi menghukum perdagangan tersebut.
“China kini boleh terus membeli minyak dari Iran. Diharapkan mereka juga akan membeli banyak dari AS,” tulis Trump dalam hantaran di platform Truth Social, ketika dalam perjalanan ke sidang kemuncak NATO di The Hague.
China merupakan pembeli utama minyak Iran dan menjadi talian hayat penting bagi Teheran kerana ekonominya terjejas akibat sekatan antarabangsa yang melumpuhkan.
Menurut firma analisis Kpler, Beijing membeli lebih 90 peratus daripada eksport minyak Iran.
Pada April lalu, China mengimport kira-kira 1.3 juta tong minyak mentah dari Iran setiap hari, menurun sedikit berbanding paras tertinggi lima bulan pada Mac.
Bulan lalu, AS mengumumkan sekatan baharu ke atas jualan minyak Iran ke China, ketika pentadbiran Trump meneruskan kempen ‘tekanan maksimum’ terhadap Teheran.
China mengutuk serangan bom AS ke atas kemudahan nuklear Iran dan menyeru semua pihak di rantau itu, terutama Israel supaya meredakan ketegangan.
Beijing turut menggesa penyelesaian politik dilaksanakan bagi memastikan gencatan senjata yang diistiharkan kekal.
Namun menurut penganalisis, konflik yang semakin memuncak antara Israel dan Iran mengurangkan pengaruh serantau China dengan ketara.
































