Lim Hui Ying (tengah) ketika meninjau program Sara Kementerian Kewangan bersama 100 penerima di Mydin George Town, Pulau Pinang, hari ini.
GEORGE TOWN: Program Sumbangan Asas Rahmah (Sara) terus menunjukkan impak positif apabila lebih 4.8 daripada 5.4 juta penerima telah menggunakan MyKad mereka untuk membeli barangan asas di premis berdaftar sehingga Jun ini.
Menurut Utusan Malaysia, jumlah tersebut dikatakan bersamaan dengan kadar penggunaan sebanyak 89 peratus bagi bulan ketiga pengkreditan.
Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying berkata, perkembangan itu tidak langsung menggambarkan keyakinan rakyat terhadap inisiatif kerajaan yang bukan sahaja menyasarkan bantuan tunai, malah, turut melibatkan pengurusan yang lebih bersepadu dan mudah melalui sistem MyKad.
“Kita amat gembira melihat kadar penggunaan yang tinggi (untuk program Sara) dan ini menunjukkan bahawa rakyat menerima baik inisiatif ini.
“Namun, masih ada baki 11 peratus yang belum menggunakan bantuan ini dan kita sedang giat menjalankan kempen kesedaran di seluruh negara,” katanya pada program Sara Kementerian Kewangan bersama 100 penerima di sini, hari ini.
Menurut Hui Ying, Pulau Pinang mencatatkan kadar penggunaan Sara sebanyak 88 peratus, manakala Perlis muncul sebagai negeri tertinggi dengan 94 peratus, diikuti Sabah dan Kedah masing-masing pada kadar 93 peratus.
Katanya, secara keseluruhan, seramai 293,000 penerima Sara direkodkan di Pulau Pinang dan program yang dijalankan hari ini memberi peluang kepada penerima di kawasan bandar berinteraksi secara langsung dengan wakil kerajaan termasuk beliau sendiri sebagai Ahli Parlimen Tanjong.
“Ramai yang masih belum tahu bahawa mereka boleh membeli barangan asas hanya dengan menggunakan MyKad. Ada juga yang ragu-ragu, tidak yakin bantuan boleh ditebus sebegitu mudah. Hari ini kita beritahu sendiri kepada penerima,” katanya.
Hui Ying berkata, bermula April tahun ini, jumlah penerima Sara telah ditingkatkan secara besar-besaran daripada 700,000 kepada 5.4 juta penerima manakala kadar maksimum bantuan tahunan turut dinaikkan daripada RM1,200 kepada RM2,100 iaitu peningkatan 75 peratus.































