KUALA LUMPUR: Sudah tiba masanya sukan badminton menggunakan Video Bantuan Pengadil (VAR) bagi menjamin kualiti pengadilan dalam pertandingan.
Menurut Utusan Malaysia, beregu No. 2 duni, Aaron Chia berkata, badan induk badminton dunia itu perlu meneliti cadangan tersebut dan tidak bergantung sepenuhnya kepada sudut pandangan pengadil.
Pemain yang berpasangan dengan Soh Wooi Yik itu sebelum ini berdepan servisnya dibatalkan sewaktu beraksi pada Terbuka Indonesia dan gelagatnya yang mahu menyerahkan raketnya untuk meminta pengadil menunjukkan cara servis yang betul menjadi tular di media sosial.
“Saya rasa sudah tiba masanya sistem VAR (Video Bantuan Pengadil) seperti yang digunakan di dalam bola sepak diperkenalkan terutama ketika pemain melakukan servis.
“BWF perlu meneliti perkara ini dan bukan sekadar bergantung sepenuhnya kepada penglihatan pengadil servis kerana sudut pandangan mereka mungkin berbeza mengikut ketinggian masing-masing,” katanya kepada pemberita selepas sesi latihan di Akademi Badminton Malaysia (ABM) di sini, semalam.
Bagaimanapun, gesaan Aaron itu tidak bertumpu kepada isu pengadilan semata-mata, malah, pemain berusia 28 tahun itu juga mahu BWF tidak terlalu bersikap tegas terhadap peraturan perubatan pemain yang ditimpa kecederaan ketika dalam gelanggang.
“Bagi saya, selain isu pengadilan, isu rawatan perubatan pemain ketika di dalam gelanggang lebih penting, saya tahu ada sesetengah negara menggunakan taktik itu untuk sengaja melengahkan permainan, namun, bukan semuanya begitu,” katanya.
Sementara itu, ketika ditanya pula mengenai inisiatif BWF yang mahu menaikkan hadiah kemenangan, selain bercadang mengubah format kejohanan berstatus Super 1,000, Aaron menyambut baik mengenai hasrat tersebut.
Bermula 2027, BWF bercadang untuk menaikkan hadiah wang kemenangan kejohanan Super 1,000 daripada AS$1.45 juta (RM6.15 juta) kepada AS$2 juta (RM8.48 juta), sementara hari pertandingan juga dipanjangkan daripada tujuh ke 11 hari dalam tempoh dua minggu.