KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang menyiasat kemungkinan seorang penyanyi rap serta dua rakannya yang ditahan di Penjara Phontong, Vientiane, Laos atas kesalahan memiliki 86 kilogram (kg) dadah jenis ganja terlibat dengan sindiket penyeludupan dadah.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, pihaknya sedang mengumpul maklumat dengan pihak berkuasa Laos mengenai perkara itu.
Beliau berkata, pihaknya dimaklumkan perkara itu pada 3 Jun oleh pihak Kementerian Luar Negeri berhubung penahanan tiga lelaki tempatan itu dibuat pada 27 Mei lalu dengan rampasan 86 kg ganja semasa tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Wattay, Laos.
“Hasil pemeriksaan enam bagasi milik individu itu yang dirampas telah menemui 103 bungkusan plastik yang mengandungi dadah jenis ganja.
“Hasil siasatan mendapati dipercayai kesemua mereka akan menaiki penerbangan Thai Airways dari Laos untuk ke Jerman bagi tujuan menghantar bekalan dadah tersebut,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Beliau berkata, tiga individu itu termasuk seorang penyanyi rap berusia lingkungan 25 hingga 29 tahun.
Menurutnya, semakan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) mendapati kesemua individu telah keluar dari Malaysia pada 22 Mei 2025 melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
“Semakan dari pihak ‘counterpart’ di Thailand mendapati tiada sebarang pergerakan masuk atau keluar dari Thailand pada 22 Mei lalu terhadap kesemua warga tempatan itu,” ujarnya.
“Maklumat yang diperolehi daripada soal siasat kesemua tangkapan akan dihantar pihak Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) untuk tindakan selanjutnya,” katanya.






























