SYDNEY: Watak-watak kerdil namun berani seperti Tyrion Lannister dalam ‘Game of Thrones’ dan Gimli dalam ‘The Lord of the Rings sering memikat hati penonton kerana sifat beraninya yang luar biasa meskipun bersaiz kecil.
Namun, di sebalik populariti watak sebegini dalam filem dan televisyen, kajian terbaharu mendedahkan ‘sindrom lelaki rendah’ atau lebih dikenali sebagai Napoleon complex bukan sekadar fiksyen, ia turut wujud dalam kehidupan sebenar.
Menurut Utusan Malaysia, kajian yang dijalankan oleh penyelidik dari Universiti Katolik Australia mendapati lelaki yang lebih rendah berkemungkinan cenderung berasa cemburu, berdengki dan bersaing secara agresif berbanding lelaki yang lebih tinggi.
Kajian yang diterbitkan dalam jurnal ‘Evolutionary Behavioral Sciences’ itu melibatkan 302 peserta lelaki dan wanita dan mereka ditanya mengenai ketinggian sebenar, persepsi terhadap ketinggian masing-masing serta tahap persaingan sesama jantina (intrasexual competition).
Hasilnya menunjukkan lelaki yang lebih rendah terutamanya yang tidak berpuas hati dengan ketinggian mereka menunjukkan tahap hasad, cemburu dan semangat bersaing yang lebih tinggi.
“Kajian ini menyerlahkan hubungan antara ketidakpuasan terhadap ketinggian dan tahap persaingan sesama jantina,” jelas penyelidik utama, Daniel Talbot.
Fenomena ini bukanlah sesuatu yang baharu kerana Ia pertama kali diperkenalkan pada tahun 1926 oleh pakar psikoanalisis Austria, Alfred Adler, yang turut mencetuskan istilah inferiority complex, satu keadaan di mana seseorang berasa rendah diri dan kurang nilai diri.
Dalam bentuk klasiknya, sindrom ini merujuk kepada individu lelaki yang cuba “menebus” kekurangan fizikal dengan bersikap lebih tegas, lantang dan dominan.
Para pengkaji turut menambah ketinggian merupakan faktor penting dalam pemilihan pasangan serta persaingan antara jantina yang sama, di mana lelaki yang lebih tinggi lazimnya dianggap lebih menarik dan dominan.
Malah, kajian turut mendapati wanita dan lelaki berharap untuk menjadi lebih tinggi juga menunjukkan kecenderungan persaingan lebih tinggi sesama jantina berbanding mereka yang berpuas hati dengan ketinggian mereka.






























