Satu tengkorak manusia dengan bentuk luar biasa ditemukan di San Fernando, Argentina.
SAN FERNANDO, Argentina: Satu tengkorak manusia dengan bentuk luar biasa ditemukan di tapak pembinaan di San Fernando, wilayah Catamarca.
Menurut Utusan Malaysia, tengkorak itu mempunyai struktur berbeza berbanding tengkorak manusia biasa dengan bersaiz lebih besar dan memanjang, seolah-olah menempatkan otak yang lebih besar.
Media tempatan menyifatkan tengkorak itu mungkin kumpulan manusia purba baharu atau ‘makhluk asing’ yang pernah datang ke bumi.
Pihak lain pula menyamakan tengkorak aneh itu dengan ‘antmen’ yang merujuk kepada tentera semut sebesar anjing yang muncul dalam mitologi Yunani.
Menurut penceritaan terdahulu, ‘antmen’ itu dikenali sebagai Myrmekes yang tinggal di dalam busut yang dipenuhi dengan pelbagai barangan rampasan dicuri.
Namun, bentuk tengkorak itu juga mempunyai persamaan dengan imej makhluk asing yang muncul dalam filem sains fiksyen klasik pada 1990-an, iaitu Mars Attacks!.
Tengkorak itu ditemukan secara tidak sengaja oleh pekerja binaan semasa kerja-kerja menggali dilakukan bagi memasang saluran paip, lapor akhbar tempatan, El Ancasti.
Para pekerja menemukan dua keranda yang mengandung rangka manusia dengan satu daripadanya memiliki bentuk tengkorak luar biasa.
Satu daripada keranda mengandungi rangka yang lengkap, manakala satu lagi mempunyai sisa separa yang dianalisis Universiti Kebangsaan Catamarca.
Penemuan itu secara tidak langsung mendapat perhatian banyak pihak dengan pasukan antropologi wilayah bakal mengunjungi tapak berkenaan.
Mengubah bentuk kepala dengan menggunakan pembalut yang diikat ketat pada kepala bayi yang masih lembut boleh menyebabkan bentuk tengkorak berubah.
Amalan purba itu diamalkan oleh etnik Cienaga dan Aguada yang hidup antara abad ketiga dan ke-12 Masihi.
Pakar arkeologi prasejarah Universiti Oxford, Rick Schulting berkata, pengubahsuaian tengkorak adalah amalan biasa di serata dunia, termasuk barat Amerika Selatan.
“Ia dilakukan untuk pelbagai sebab, termasuk menandakan kumpulan sosial yang lebih tinggi dan nilai estetika,” katanya.


































