Abidin (tengah) dan tetamu lain menunjukkan isyarat bagus sempena sambutan Kaamatan Kg Ponulangon.
RANAU: Ratusan penduduk menarik nafas lega selepas Kerajaan Negeri bersetuju mengeluarkan dua kampung, iaitu Kampung Ponulangon dan Kampung Walou, daripada kawasan Hutan Simpan.
Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paginatan, Datuk Abidin Madingkir berkata, keputusan itu dibuat hasil beberapa pertemuan beliau bersama Pengarah Jabatan Hutan dan Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor, baru-baru ini.
“Sukacita saya umumkan bahawa Ketua Menteri pada dasarnya, telah memberikan kelulusan agar kawasan Kg. Ponulangon dan Kg. Walou dikeluarkan daripada Hutan Simpan.
“Ini bermakna penduduk kampung boleh memohon hak milik tanah, serta mengusahakan tanah tersebut untuk bercucuk tanam, membina rumah dan pelbagai aktiviti lain tanpa gangguan daripada Jabatan Hutan,” katanya.
Bagaimanapun, beliau menjelaskan bahawa kelulusan itu masih perlu dibawa ke persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk disahkan secara rasmi.
Menurut Abidin, Jabatan Hutan akan turun ke lapangan dalam masa terdekat untuk mengenal pasti keluasan sebenar kawasan yang akan dikeluarkan daripada status Hutan Simpan.
“Kita bersyukur kerana melalui hubungan baik antara wakil rakyat dan agensi kerajaan, urusan ini dapat dipermudahkan.
“Sebagai wakil rakyat di sini, saya akan terus berusaha merealisasikan impian penduduk kampung, seperti juga usaha kita menjayakan pembinaan jalan raya yang menghubungkan Kg. Walou, Kg. Ponulangon dan Kg. Tinanom,” jelasnya.
Tambah beliau, permohonan pembinaan Mini Dewan bagi Kg. Ponulangon telah dikemukakan kepada Pejabat Daerah pada tahun lalu.
“Saya akan arahkan UPPM merujuk semula permohonan ini. Mudah-mudahan kita dapat menyelesaikan keperluan ini tahun ini juga,” katanya semasa merasmikan Pesta Kaamatan Kg. Ponulangon di Balai Raya kampung itu baru-baru ini.
Beliau turut merakamkan ucapan tahniah kepada penduduk dan pemimpin kampung kerana berjaya menganjurkan sambutan Pesta Kaamatan dengan jayanya.
“Tema Kaamatan peringkat negeri tahun ini ialah ‘Kaamatan Untuk Semua’ kerana kini Kaamatan diraikan oleh segenap lapisan masyarakat tanpa mengira kaum dan agama.
“Bagi masyarakat KDMR, Kaamatan merupakan lambang kesyukuran atas hasil tuaian yang baik, suatu anugerah daripada Tuhan,” ujarnya.
Katanya, sambutan Kaamatan harus diadakan setiap tahun kerana ia merupakan budaya tempatan yang perlu dipelihara untuk generasi akan datang.
“Selain itu, Kaamatan juga menyatupadukan rakyat dan memberi peluang kepada masyarakat untuk bertemu sanak saudara serta sahabat handai yang jarang berjumpa,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Abidin berkata, Kerajaan telah menghidupkan kembali Lembaga Padi dan Beras Sabah sebagai langkah meningkatkan pengeluaran padi tempatan dan mengurangkan kebergantungan kepada beras import yang kini mencecah 72 peratus.
Sehubungan itu, beliau menyeru penduduk Kg Ponulangon agar terus menyokong Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-17 demi kesinambungan pembangunan melalui pelan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ).
“Kami akan terus berkhidmat dan melaksanakan tanggungjawab kerana masih banyak perkara yang belum selesai.
“Namun, saya kecewa kerana ada segelintir rakan dalam GRS yang menaja calon bebas untuk menentang kita. Tindakan seperti ini hanya memecahbelahkan perpaduan dalam GRS. Kita harus menolak individu sebegini,” tegas beliau.
Sementara itu, Pengerusi JKKK Kg. Ponulangon, Josey Linggonon merakamkan ucapan terima kasih kepada Abidin dan rombongannya kerana sudi hadir ke kampung tersebut sempena Pesta Kaamatan peringkat kampung.
“Kami amat berterima kasih kepada Datuk Abidin yang sentiasa mengambil berat tentang nasib penduduk, walaupun kampung kami antara yang paling terpencil di DUN Paginatan.
“Untuk rekod, ini adalah kali kelima Datuk Abidin berkunjung ke kampung ini, membuktikan beliau tidak pernah melupakan rakyat di sini,” katanya.
Josey turut memohon agar permohonan pembinaan mini dewan bagi menggantikan balai raya lama yang sudah uzur diberi pertimbangan segera.
Katanya, tema Kaamatan Kg. Ponulangon tahun ini ialah ‘Kaamatan Timpohon do Koburuon’, berbeza dengan tema peringkat negeri, namun membawa mesej yang mendorong penduduk terus berusaha meningkatkan hasil pertanian.
Sementara itu, Wakil Ketua Anak Negeri (WKAN), Pamin Gudatin turut menyatakan sokongan padu terhadap Abidin agar terus kekal sebagai wakil rakyat mereka yang prihatin terhadap isu dan keperluan rakyat.
Turut hadir pada majlis itu ialah Pegawai Khas Datuk Abidin, Juis Konsuling; CDO Jipili Sigal; KAN Dualis Porodtong; KAN Sawalin Zakaria; KAN Kapilin Hj Surop; Pemaju Mukim Paus, Jasni Maston; dan para pemimpin setempat.


































