Aksyah Haji Nasrah
KOTA KINABALU: Langkah strategik Gabungan Rakyat Sabah (GRS) meneruskan kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) Plus bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 disifatkan sebagai tanda penghargaan atas sokongan yang diberikan dalam mengekalkan kestabilan politik negeri sebelum ini.
Bekas Timbalan Ketua Badan Pimpinan Negeri Bersatu Sabah, Aksyah Haji Nasrah, berkata keputusan Pengerusi GRS, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor itu tidak mengejutkan kerana GRS tidak pernah secara rasmi mengumumkan untuk bertanding secara solo.
“Kerjasama ini adalah manifestasi balas budi kepada pemimpin PH-Plus yang tetap menyokong Kerajaan GRS selepas insiden ‘Langkah Kinabalu’ yang mencetuskan ketidaktentuan politik di Sabah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, pengumuman awal oleh Sekretariat PH-BN Pusat berhubung kerjasama menghadapi PRN Sabah telah menimbulkan persepsi seolah-olah GRS diketepikan, sekali gus mendorong GRS menilai semula pendirian dan mempertimbangkan untuk bertanding bersendirian — yang turut mencetuskan semangat slogan “Sabah for Sabahan”.
“Namun, tidak wajar apabila pembangkang mempersendakan kenyataan Hajiji dan menuduh beliau tidak berani bertindak sendirian. Hakikatnya, kenyataan itu adalah bersyarat dan sebagai reaksi terhadap tindakan PH-BN Pusat,” ujarnya.
Susulan perkembangan itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim (PMX), telah mengadakan pertemuan dengan Hajiji di Sabah bagi membincangkan semula jajaran kerjasama politik antara GRS dan PH-Plus menjelang PRN.
Aksyah turut menempelak pembangkang yang didakwanya cuba mewujudkan persepsi kononnya berlaku perpecahan dalam GRS hanya kerana wujud perbezaan pandangan antara sesetengah pemimpin berhubung kerjasama pilihan raya.
“Sebagai parti yang matang dan berpengalaman, GRS menghormati perbezaan pandangan. Ini bukan petanda perpecahan, sebaliknya satu tradisi demokrasi dalaman yang memperkukuhkan parti,” jelasnya.
Beliau turut membandingkan situasi itu dengan kenyataan Presiden UMNO baru-baru ini yang menegaskan hanya ada satu nakhoda di Sabah — satu kenyataan yang menurutnya membayangkan kemungkinan wujud pergolakan dalaman dalam UMNO/BN sendiri.
Dalam pada itu, beliau menyeru seluruh ahli dan penyokong GRS supaya terus menyokong keputusan kepimpinan demi memperkukuh gabungan menjelang PRN akan datang.
“Hakikatnya, tanpa sokongan PH-Plus, GRS mungkin tidak akan menjadi parti yang memimpin kerajaan negeri hari ini. Maka, menghargai sumbangan mereka adalah tindakan yang wajar,” katanya.
Tambah beliau, kemenangan hanya boleh dicapai sekiranya jentera parti diperkukuhkan dan semangat berpasukan diutamakan.
Beliau turut menegaskan bahawa penyatuan GRS terbina hasil pengorbanan ego politik para pemimpin tempatan demi membentuk satu blok politik yang lebih kukuh untuk rakyat Sabah.
“Dominasi 50 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang akan ditandingi oleh parti-parti tempatan membuktikan bahawa Sabah kini berada di bawah kendalian kepimpinan anak watan sendiri,” katanya.
Aksyah kini merupakan penyokong kuat GRS selepas meninggalkan Bersatu Sabah.


































