Gobind Singh Deo
KUALA LUMPUR: Kerajaan bersedia mengemas kini undang-undang sedia ada selaras perkembangan terkini teknologi, bagi memastikan perundangan negara kekal relevan dan mampu menangani cabaran baharu.
Menurut Utusan Malaysia, Menteri Digital, Gobind Singh Deo berkata, langkah ini penting bagi menangani perkara berbangkit termasuk isu penipuan pekerjaan dan jenayah siber yang semakin kompleks.
“Apabila kita melihat kepada teknologi baharu, ada kemungkinan teknologi ini memerlukan kita untuk menilai semula peraturan dan undang-undang yang sedia ada,” katanya kepada pemberita selepas katanya ketika menjadi panelis dalam Forum Ekonomi ASEAN-GCC 2025 di sini.
Sebagai contoh, beliau merujuk kepada teknologi kenderaan autonomi, iaitu kenderaan yang bergerak tanpa pemandu.
Jelasnya, undang-undang di Malaysia ketika ini menetapkan bahawa setiap kenderaan yang bergerak di kawasan awam mesti dikendalikan oleh pemandu yang memiliki lesen sah.
“Sekiranya tiada pemandu yang berlesen, maka akan timbul isu sebagai contoh, insurans. Insurans tidak akan dapat memberi perlindungan. Ini bermaksud, jika kenderaan itu bergerak di tengah-tengah trafik, ia bertentangan dengan undang-undang,” katanya.
Menurut Gobind, kementerian sedang giat berusaha ke arah mewujudkan bandar pintar yang digerakkan oleh teknologi kecerdasan buatan (AI), bagi meningkatkan kualiti hidup rakyat.
Beliau menekankan bahawa penubuhan Pejabat AI Kebangsaan pada Disember lalu merupakan satu langkah penting ke hadapan dalam merealisasikan visi ini.
“Membina bandar pintar memerlukan kerjasama antara kerajaan, industri dan komuniti. Ia juga memerlukan data dalam jumlah yang besar,” katanya.
Beliau mengakui bahawa kerajaan perlu mendigitalkan pangkalan data yang luas, membangunkan sistem perkongsian maklumat dan mewujudkan rangka kerja bersepadu bagi memastikan semua penyelesaian teknologi dapat berfungsi secara lancar.
Gobind turut mengenal pasti beberapa sektor utama di mana teknologi berpotensi memberi impak transformatif, termasuk kesihatan, pengangkutan dan perkhidmatan kerajaan.
Dalam sektor kesihatan, Gobind membayangkan masa depan di mana masa menunggu di hospital dapat dikurangkan secara drastik melalui integrasi sistem digital.
Bagi dalam sektor pengangkutan, beliau menekankan kepentingan pengurusan sistem trafik yang berkesan serta penyediaan pengangkutan awam yang menepati masa.
“Contoh-contoh ini menunjukkan bagaimana penggunaan teknologi boleh menjadikan bandar lebih pintar dan kehidupan seharian lebih efisien,” katanya.
Namun begitu, beliau turut mengingatkan bahawa kemajuan dalam bidang-bidang ini bergantung kepada usaha menangani halangan dari segi undang-undang dan peraturan yang masih belum selaras dengan keperluan teknologi masa kini.


































