Joniston disambut pelajar berpakaian tradisional yang mempersembahkan tarian Botumban.
KIULU: SMK Tun Fuad Stephens di sini berada dalam kedudukan terbaik untuk menerajui usaha perintis edu-pelancongan memandangkan kawasan ini semakin dikenali sebagai destinasi popular kem musim panas, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kiulu, Datuk Joniston Bangkuai.
Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar itu berkata, melalui usaha tersebut, para pelajar sekolah itu boleh memainkan peranan aktif dalam mempromosikan kampung halaman mereka kepada pelawat, khususnya pelajar dari luar negara.
Beliau berkata, sekolah tersebut berpotensi menjadi pemangkin utama program berkenaan, lebih-lebih lagi kerana ia merupakan satu-satunya sekolah menengah di kawasan itu.
“Dengan Kiulu yang sudah dikenali sebagai destinasi kem musim panas yang melibatkan pelajar luar negara, ada potensi besar untuk membangunkan program edu-pelancongan yang melibatkan pelajar tempatan secara langsung dalam memperkenalkan kampung mereka,” katanya pada sambutan Kaamatan peringkat sekolah itu hari ini.
Menurut Persatuan Pelancongan Kiulu, sebanyak 37 kumpulan kem musim panas dari United Kingdom, Australia dan New Zealand melibatkan 851 pelajar telah mengunjungi Kiulu sepanjang tahun lalu dan empat bulan pertama tahun ini.
Joniston yang juga Pengerusi Lembaga Pelancongan Sabah berkata, antara idea yang boleh diteroka ialah konsep Kiulu Discovery Day, di mana sekolah-sekolah di kawasan ini bekerjasama untuk menganjurkan pengalaman pembelajaran komuniti secara mendalam kepada pelajar luar yang berkunjung.
Katanya, konsep tersebut sejajar dengan usaha berterusan untuk menjadikan sekolah-sekolah di Kiulu sebagai sekolah berasaskan ekopelancongan yang memperkasakan pelajar sebagai duta alam sekitar dan budaya mereka.
Objektifnya adalah untuk membolehkan pelajar tempatan bertindak sebagai pemandu pelancong dan duta komuniti, memberikan pelawat pengalaman secara langsung mengenai alam semula jadi dan gaya hidup desa Kiulu melalui aktiviti secara hands-on.
“Pelajar kita boleh belajar untuk menjadi pencerita, yang akan membantu membina keyakinan diri mereka dan menambah penghargaan terhadap identiti serta budaya mereka, terutamanya kini setelah kelab pelancongan ditubuhkan di sekolah ini,” katanya.
Tambah beliau, pelajar senior di SMK Tun Fuad Stephens juga boleh membimbing pelajar sekolah rendah dalam program tersebut, sekali gus memberikan pendedahan awal terhadap kepimpinan dan kerjasama berpasukan.
Joniston menegaskan bahawa penglibatan semua pihak berkepentingan, termasuk ibu bapa, guru, Jabatan Pendidikan dan agensi pelancongan, adalah penting bagi memastikan program seperti ini dapat direalisasikan dan dikekalkan.
“Inisiatif ini sangat selaras dengan matlamat pelancongan negeri dan negara, lebih-lebih lagi menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026.
“Kita juga boleh mempertimbangkan pelancaran program yang berpotensi melibatkan sekolah atau pelawat dari luar Sabah bagi menyokong kempen Explore Sabah,” katanya.
Joniston turut memaklumkan minat tinggi dalam kalangan pelajar Kiulu terhadap bidang pelancongan, seperti yang terbukti melalui penyertaan lebih 100 pelajar dari sekolah itu dalam program pelancongan belia anjuran Lembaga Pelancongan Sabah dan Persatuan Pelancongan Kiulu awal tahun ini.
Beliau berharap para pelajar akan terus menghargai identiti budaya mereka dan melihat pendidikan bukan sekadar sebagai perjalanan peribadi, tetapi sebagai alat untuk memajukan komuniti serta membina masa depan yang lebih cerah.
Joniston turut melancarkan tabung kebajikan SMK Tun Fuad Stephens semasa majlis berkenaan.


































