Fosil dan tengkorak yang ditemukan di bawah lapisan lumpur dan pasir di Selat Madura disahkan sebagai milik Homo erectus, sekali gus mengubah pemahaman kehidupan awal manusia di Asia Tenggara.
SURABAYA: Satu penemuan arkeologi terpenting di dasar laut berhampiran perairan Indonesia berpotensi mengubah semula naratif asal usul manusia apabila ahli sains menemui tengkorak spesies Homo erectus, dipercayai tertanam lebih 140,000 tahun lalu di bawah lapisan lumpur dan pasir di Selat Madura, antara Pulau Jawa dan Madura.
Menurut Utusan Malaysia, tengkorak tersebut, bersama lebih 6,000 fosil haiwan yang terdiri daripada 36 spesies termasuk naga Komodo, kerbau, rusa dan gajah purba, merupakan penemuan fizikal pertama mengesahkan kewujudan kawasan purba yang dikenali sebagai Sundaland, satu daratan tropika luas yang dahulunya menghubungkan Asia Tenggara.
Sebahagian daripada tulang haiwan berkenaan mempunyai kesan potongan, yang menunjukkan Homo erectus di rantau ini mengamalkan strategi memburu yang canggih, sekali gus memberikan gambaran baharu mengenai adaptasi dan cara hidup manusia awal dalam menghadapi perubahan alam sekitar.
Menurut penyelidik utama, Harold Berghuis dari Universiti Leiden, Belanda, tapak tersebut kini menjadi lokaliti fosil manusia purba pertama yang ditemui di bawah laut di kawasan Sundaland.
Penemuan bermula pada 2011 apabila pelombong pasir laut menjumpai rangka fosil semasa kerja-kerja pengerukan di dasar laut Selat Madura dan di tapak penambakan berhampiran Surabaya, pekerja menemui lebih 6,000 fosil vertebrata bersama dua serpihan tengkorak manusia.
Menyedari kepentingan penemuan itu, pasukan saintis melaksanakan kajian menyeluruh termasuk penggalian dan pengelasan fosil secara terperinci.
Melalui teknik Optically Stimulated Luminescence (OSL) ke atas butiran kuarza, penyelidik dapat menentukan tarikh sedimen kali terakhir terdedah kepada cahaya matahari, iaitu antara 162,000 hingga 119,000 tahun lalu, sekitar penghujung zaman Pleistosen Tengah.
Dua serpihan tengkorak, tulang dahi dan parietal dibandingkan dengan fosil Homo erectus dari tapak Sambungmacan di Jawa, dan didapati sepadan, mengesahkan penemuan itu sebagai milik spesies manusia purba tersebut yang kini diketahui pernah menghuni kawasan Sundaland.
Antara 14,000 hingga 7,000 tahun lalu, pencairan glasier menyebabkan paras laut dunia meningkat lebih 120 meter, menenggelamkan sebahagian besar tanah rendah Sundaland sehingga menyebabkan komuniti manusia ketika itu dipercayai terpaksa berpindah ke kawasan lebih tinggi atau ke pulau-pulau berhampiran.


































