Donald Trump
WASHINGTON: Beberapa ahli politik kanan Republikan di Senat memberi amaran keras kepada Donald Trump untuk menyekat rang undang-undang perbelanjaan utamanya jika beliau tidak mengambil langkah serius mengurangkan perbelanjaan kerajaan dan hutang negara.
Menurut Utusan Malaysia, Senator Republikan dari Wisconsin, Ron Johnson yang terkenal sebagai pendukung disiplin fiskal sejak era gerakan Tea Party memberi amaran itu kepada Presiden Amerika Syarikat (AS) itu dalam satu temu bual bersama program State of the Union di CNN pada Ahad.
Ketika ditanya sama ada kumpulannya memiliki cukup undi untuk menyekat rang undang-undang tersebut, beliau menjawab mereka cukup ramai untuk menghentikan proses ini sehingga Trump benar-benar serius mengenai pengurangan perbelanjaan dan defisit.
Rang undang-undang yang digelar Trump sebagai ‘big, beautiful bill’ ini merupakan lanjutan daripada pemotongan cukai 2017 yang dilaksanakan semasa pentadbiran pertamanya. Ia turut merangkumi pengurangan faedah perbelanjaan kerajaan bernilai sekitar AS$1 trillion (RM4.2 trillion) termasuk pemotongan terhadap program insurans kesihatan untuk keluarga berpendapatan rendah, Medicaid serta Program Bantuan Pemakanan Tambahan (SNAP).
Rang undang-undang tersebut hanya berjaya melepasi Dewan Perwakilan dengan majoriti tipis satu undi pada Khamis lalu dan kini menghadapi cabaran besar di Senat.
Kritikan keras daripada senator-senator utama Republikan pada Ahad menunjukkan cabaran besar kepada agenda fiskal Trump
memandangkan majoriti tipis yang dimiliki partinya di Kongres.
Speaker Dewan, Mike Johnson pada Ahad merayu kepada rakan-rakannya di Senat supaya tidak membuat terlalu banyak perubahan, sambil mengingatkan mereka tentang keseimbangan yang sangat rapuh dalam kalangan ahli Republikan yang berbeza pandangan di Dewan Perwakilan.
Johnson menganggarkan rang undang-undang itu boleh menambah sehingga AS$4 trilion (RM16.9 trilion) kepada defisit persekutuan, satu angka yang sejajar dengan analisis terkini oleh Pejabat Belanjawan Kongres (CBO).
“Walaupun Trump mungkin tidak begitu bimbang tentang hutang negara, saya sangat bimbang mengenainya. Kita sedang menggadaikan masa depan anak-anak kita. Ini salah. Ini tidak bermoral. Ia perlu dihentikan,” tambahnya.


































