Kapal selam Titan dipercayai meletup ketika misi membawa sekumpulan individu untuk melihat bangkai kapal Titanic di Lautan Atlantik Utara.
LONDON: Satu rakaman video terbaharu memaparkan detik ketika kapal selam Titan meletup di dasar Lautan Atlantik didedahkan, termasuk ketika isteri Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) OceanGate, Wendy Rush, tersenyum sambil bertanya tentang bunyi ‘letupan’ yang sebenarnya menandakan kehancuran kapal selam terbabit.
Menurut Utusan Malaysia, Titan, yang dalam misi menyelam ke tapak bangkai kapal Titanic pada Jun 2023, hilang hubungan dengan kapal induk, Polar Prince, selepas dua jam berada di dasar laut.
Ketika kejadian, Titan membawa lima individu termasuk CEO OceanGate, Stockton Rush, 61, jutawan Britain, Hamish Harding, 58, bekas penyelam tentera laut Perancis, Paul-Henri Nargeolet, 77, tokoh korporat Pakistan, Shahzada Dawood, 48, serta anaknya, Suleman, 19.
Rakaman yang disiarkan oleh BBC itu merakam detik kru kapal Polar Prince yang pada ketika itu memantau misi Titan, secara tidak sedar terdengar bunyi letupan kuat dipercayai saat Titan berkecai pada kedalaman 3,779 meter.
Dalam video tersebut, Wendy tersenyum sebelum bertanya mengenai bunyi tersebut tanpa menyedari ia adalah detik nahas tragis yang meragut nyawa suaminya.
Beberapa ketika selepas bunyi itu kedengaran, Wendy turut menyebut mereka baru sahaja menerima maklumat Titan sudah menjatuhkan beberapa pemberat namun, bunyi ‘bang’ yang dirakam itu dipercayai sampai lebih awal berbanding kemas kini terakhir daripada kapal selam berkenaan.
Rakaman menyayat hati ini merupakan sebahagian daripada dokumentari BBC bertajuk Implosion: The Titanic Sub Disaster yang menyiasat nahas tersebut menerusi siasatan oleh Pengawal Pantai Amerika Syarikat (USCG).
Kapal Polar Prince mengaktifkan misi mencari dan menyelamat sejurus kehilangan hubungan dengan Titan, sebelum serpihan kapal selam ditemui lima hari kemudian kira-kira 300 meter dari haluan bangkai Titanic.
Nahas tersebut mencetuskan siasatan menyeluruh terhadap aspek keselamatan kapal selam Titan yang digunakan sejak 2021 untuk membawa pelancong melihat tapak Titanic dan hasil siasatan mendapati Titan mengelak pemeriksaan keselamatan bebas dan terdapat kebimbangan serius mengenai kekuatan struktur badannya yang diperbuat daripada gentian karbon bahan yang terkenal mudah terlerai di bawah tekanan tinggi.


































