Para jemaah disarankan berada di dalam khemah ketika di Arafah dan Mina susulan cuaca panas yang boleh mencecah sehingga 50 darjah Celsius.
MEKAH: Susulan cuaca panas melampau di Tanah Suci, kerajaan Arab Saudi menyarankan semua pengendali jemaah haji negara masing-masing melaksanakan sekatan keluar masuk di khemah ketika di Arafah dan Mina.
Menurut Utusan Malaysia, Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi bimbang keselamatan jemaah haji dari seluruh dunia, susulan cuaca panas yang semakin meningkat di Mekah.
Sekatan itu dilaksanakan dalam tempoh enam jam, bermula pukul 10 pagi hingga 4 petang dan jemaah haji disaran kekal di dalam khemah bagi mengelak daripada terkena strok haba.
Cuaca panas di Tanah Suci dijangka mencecah 50 darjah Celsius pada hari wukuf di Arafah, menyebabkan bahang meningkat ketara.
Khutbah Arafah juga akan disiarkan secara langsung pada skrin besar di dalam khemah bagi memudahkan jemaah.
Direktorat Am Pasport (Jawazat) berkata Arab Saudi sudah menerima 890,883 jemaah haji setakat Jumaat lalu dan mengulangi amaran mengenai tindakan tegas terhadap pelanggaran visa pelancong.
Jumlah itu turut mencerminkan momentum yang berterusan menjelang musim haji ketika jemaah terus memasuki Arab Saudi melalui lapangan terbang, lintasan darat dan pelabuhan.
Jawazat melaporkan 846,415 jemaah tiba melalui lapangan terbang antarabangsa, 41,646 melalui lintasan sempadan darat, dan 2,822 melalui pelabuhan.
Direktorat itu mengesahkan semua sumber yang diperlukan sudah digerakkan untuk memudahkan proses kemasukan termasuk sistem teknikal lanjutan dan kakitangan yang fasih pelbagai bahasa di semua pintu masuk utama.
Pada Jumaat, direkodkan ketibaan penerbangan haji pertama dari United Kingdom (UK) yang mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa King Abdulaziz di Jeddah dengan membawa 142 jemaah.
Syarikat Jeddah Airports mengesahkan kesediaan operasi penuhnya untuk musim haji kali ini merangkumi persiapan di tiga terminal utama di Terminal 1, Terminal Utara dan Kompleks Haji dan Umrah.
Kemudahan disediakan termasuk 558 kaunter imigresen, 407 stesen daftar masuk bagasi, 100 jejambat bagi laluan penumpang, 81 alat pemeriksaan kastam, 67 tali pinggang bagasi, dan 259 tempat letak bas.


































