MEKAH: Arab Saudi memperkenalkan ‘pembantu’ berteknologi tinggi yang menggabungkan tradisi Islam dan kecanggihan kecerdasan buatan (AI) bagi melancarkan ibadah para jemaah haji tahun ini.
Menurut Utusan Malaysia, Presiden Hal Ehwal Agama di Masjidil Haram dan Masjid Nabawi, Sheikh Dr. Abdul Rahman Abdul Aziz Al-Sudais memperkenalkan versi kedua robot Manarat Al-Haramain, yang dipertingkatkan dengan sistem AI canggih.
Pelancaran robot ini diumumkan Rabu lalu sebagai sebahagian daripada inisiatif untuk memanfaatkan teknologi moden bagi memperkaya pengalaman rohani para jemaah haji.
Menurut laporan Agensi Berita Saudi (SPA), robot ini direka khas untuk menjadi pusat rujukan bagi pertanyaan mengenai ibadah dan ehwal agama di Masjidil Haram.
Robot tersebut juga membolehkan jemaah melakukan panggilan video secara langsung dengan para mufti yang bersedia memberikan jawapan terhadap sebarang persoalan berkaitan agama.
Reka bentuk luaran dan perisian robot ini juga dikemas kini dengan sentuhan motif seni bina Islam tradisional yang terdapat di Masjidil Haram di Mekah dan Masjid Nabawi di Madinah.
Gabungan unsur keaslian, kemodenan dan teknologi canggih ini bertujuan menjadikan pengalaman ibadah lebih mudah dan bermakna kepada jutaan jemaah dari seluruh dunia.
Lapor SPA, penggunaan teknologi seumpama ini selaras dengan matlamat pihak berkuasa untuk menyediakan perkhidmatan terbaik, mesra pengguna dan berteraskan nilai Islam kepada pengunjung di Tanah Suci.
Musim haji tahun ini dijangka bermula pada 4 Jun dan berakhir pada 9 Jun ini.
Jemaah dari pelbagai negara sudah tiba di Arab Saudi sejak awal bulan ini sebagai persiapan untuk menunaikan rukun Islam kelima itu.