Dr. Joachim (kiri) menyempurnakan upacara mengetam padi (mongomot) bersama tetamu jemputan yang hadir.
KOTA MARUDU: Kerajaan Sabah sentiasa prihatin terhadap nasib komuniti luar bandar, khususnya pesawah dan pekebun kecil yang menjadi tulang belakang sumber makanan negeri ini, kata Timbalan Ketua Menteri II, Datuk Dr. Joachim Gunsalam.
Beliau berkata, pelbagai inisiatif telah dan sedang dilaksanakan selaras dengan Tonggak Kedua Belanjawan Sabah 2025 iaitu Pembangunan Inklusif dan Saksama, bagi memastikan nasib golongan terbabit terus dibela dan pada masa sama menjamin keterjaminan makanan Sabah.
“Kerajaan Negeri di bawah pimpinan Ketua Menteri amat menghargai jasa pesawah dan pekebun kecil. Justeru, usaha memperkasakan mereka dipergiatkan melalui pelbagai program bersasar,” katanya ketika merasmikan Pesta Kaamatan Peringkat Daerah Kota Marudu 2025, di Dewan Komuniti Kota Marudu, hari ini.

Dr. Joachim (empat dari kanan) menerima cendera mata daripada Meirin.
Beliau yang juga Timbalan Presiden Persatuan Kebudayaan Kadazan Dusun (KDCA) berkata, antara langkah utama ialah penambahan Insentif Pembajakan Sawah Padi daripada RM18 juta kepada RM26 juta, memberi manfaat kepada 22,500 pesawah setiap tahun melalui subsidi sebanyak RM494 sehektar.
“Selain itu, Kerajaan juga melaksanakan program pemulihan 438 hektar sawah padi terbiar di Papar, Tuaran dan Sook yang dijangka menghasilkan 2,190 tan metrik padi semusim, mencukupi untuk keperluan 15,330 penduduk,” katanya.
Dr. Joachim berkata, usaha memantapkan sektor padi turut diperkukuh melalui penubuhan semula Lembaga Padi dan Beras Sabah (LPBS).

Dr. Joachim memalu gong sebagai tanda gimik perasmian Pesta Kaamatan Kota Marudu 2025 sambil disaksikan oleh semua tetamu yang hadir.
“Sebanyak RM32.5 juta diperuntukkan untuk operasi LPBS, termasuk pembelian 60 unit jentera moden dan menaik taraf sistem pengairan di enam daerah pengeluar utama padi, salah satunya ialah daerah Kota Marudu.
“Langkah ini dijangka mampu meningkatkan Tahap Sara Diri (SSL) beras Sabah kepada 30 peratus menjelang 2026,” jelas beliau.
Dalam masa sama, Kerajaan turut menyalurkan RM7.49 juta kepada Institut Pertanian Sabah dan Pusat Latihan Vokasional Pertanian bagi melahirkan lebih ramai tenaga kerja separuh mahir dalam bidang pertanian.
“Kesemua inisiatif ini merupakan sebahagian daripada agenda kerajaan negeri untuk memperkukuh keselamatan makanan Sabah agar kita tidak terlalu bergantung kepada bekalan luar, sebaliknya dapat berdikari dengan sumber tempatan,” katanya.

Dr. Joachim (kiri) dan Hendrus menunjukkan padi yang telah diketam selepas selesainya upacara ‘mongomot’.
Beliau berkata, komitmen Kerajaan Negeri ini membuktikan kesungguhan dalam memperkasakan ekonomi luar bandar, mengurangkan kebergantungan kepada import makanan serta menjamin masa depan yang lebih mampan untuk rakyat Sabah.
Terdahulu, Dr. Joachim berkata, sambutan Kaamatan adalah simbol perpaduan dan penghargaan terhadap kerja keras komuniti tani yang menjadi tunjang utama budaya dan identiti rakyat Sabah.
“Kaamatan adalah untuk semua. Ia bukan sekadar sambutan tahunan, tetapi cerminan nilai kesyukuran, kerjasama dan rasa hormat terhadap warisan budaya yang harus diwariskan kepada generasi akan datang,” katanya.
Turut hadir, Pembantu Menteri I Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tandek, Datuk Hendrus Anding; Ahli Majlis Tertinggi Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) Pusat, Datuk Maijol Mahap; Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri merangkap Ketua Pergerakan Wanita PGRS, Datuk Redonah Bahanda; Pegawai Daerah Kota Marudu merangkap Pengerusi Jawatankuasa Induk sambutan Pesta Kaamatan, Meirin Sugara; Ahli Jawatankuasa KDCA Pusat merangkap Pengerusi Pelaksana Sambutan Pesta Kaamatan, Dr. Christoper Mandut; Pegawai Khas, Stephen Goh Thiam Boon, mewakiIi Ahli Parlimen Kota Marudu; Mantan ADUN Tandek, Datuk Anita Baranting; Ketua Bahagian Star Tandek, Datuk Dr. George Sangin; Ketua Bahagian PGRS Tandek, Dato’ Dr. Haji Jonathan Kandok; Pegawai Penasihat Perkhidmatan Veterinary Negeri Sabah, Dr. Jamain Angkap dan Jude Abel Logijin mewakili Ketua Pegawai Eksekutif Jetama Waters Sdn Bhd.


































