Hajiji (tengah) bersama para penerima Anugerah Perdana Belia tahun ini.
KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri akan merangka Enakmen Pembangunan Belia Sabah sebagai platform perundangan untuk memperkukuh pengurusan pertubuhan belia, memperluas pengiktirafan terhadap aktivisme belia dan memastikan ruang pembangunan yang lebih tersusun, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor.
“Melalui enakmen ini, kita mahu setiap pemimpin belia diberikan masa, ruang dan sokongan untuk memimpin dengan yakin serta terus menyumbang kepada negeri tanpa diketepikan akibat perubahan dasar,” katanya pada Sambutan Hari Belia Negara Peringkat Negeri di Kompleks Sukan Kota Kinabalu di sini, hari ini.
Ketua Menteri berkata, Kementerian Belia dan Sukan Sabah (KBSS) bersama Majlis Belia Sabah (MBS) telah diamanahkan untuk meneliti perkara ini termasuk isu dasar peralihan umur belia.
“KBSS dan MBS akan menjalankan kajian menyeluruh mengenai dasar peralihan umur belia kerana isu ini memerlukan penelitian yang mendalam dengan mengambil kira struktur sosial, kematangan organisasi dan realiti sebenar di Sabah,” tambahnya.
Hajiji berkata, pembangunan belia di Sabah akan terus menjadi keutamaan Kerajaan Negeri termasuk penyediaan kemahiran dan peralatan yang diperlukan bagi melahirkan pemimpin masa depan negeri.
“Di bawah pentadbiran GRS-PH, Kerajaan Negeri telah melaksanakan pelbagai inisiatif untuk pembangunan belia.
“Kestabilan politik telah membuka ruang kepada pembangunan berterusan serta dasar berorientasikan rakyat, termasuk dalam aspek pembangunan belia,” katanya.

Hajiji (duduk, tengah) bersama para belia sempena Sambutan Hari Belia Negara peringkat negeri.
Hajiji berkata, Yang di-Pertua Negeri, Tun Musa Aman dalam ucapan dasarnya turut menekankan bahawa pembangunan belia perlu diutamakan, terutamanya dalam aspek pendidikan, kemahiran dan kepimpinan.
“Oleh itu, Kerajaan Negeri sentiasa mengambil kira aspirasi golongan belia termasuk usaha membekalkan ilmu pengetahuan dan kemahiran kepada mereka.
“Ini bagi memastikan apabila tiba masanya, generasi muda akan bersedia dan berkelayakan untuk memimpin negeri dan negara ke tahap yang lebih tinggi,” katanya.
Ketua Menteri berkata, Kerajaan Negeri telah melancarkan pelbagai inisiatif dan program bantuan pendidikan yang memberi manfaat kepada pelajar di negeri ini.
Beliau berkata, inisiatif baharu seperti Sumbangan Mahasiswa Pengajian Tinggi Dalam Negeri (SENTOSA) dan Sumbangan Kegiatan Sekolah Secara One-Off (SUKSES) turut diperkenalkan bagi memperluaskan akses kepada pendidikan tinggi serta menyokong aktiviti sekolah.
“Inisiatif-inisiatif ini adalah sebahagian daripada 13 inisiatif pendidikan yang disediakan kepada pelajar, sekolah, Persatuan Ibubapa dan Guru (PIBG) serta persatuan mahasiswa Sabah di dalam dan luar negara dengan peruntukan keseluruhan berjumlah RM75.5 juta,” katanya.
“Inisiatif lain yang dilaksanakan dan diteruskan pada tahun ini termasuklah Bantuan Tunai One-Off Pendaftaran IPT (BUDI), Program Bantuan Komputer (BAIK), Bantuan Khas Tunai Peperiksaan (BAKTI), Bantuan Tabung Pendidikan Negeri (BISTARI), Sekretariat Mahasiswa Sabah Malaysia (SEMESTA) dan Bantuan Tiket Penerbangan Pelajar Sabah (GRSSUBFLY).”

Hajiji diiringi Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ellron Angin, disambut para belia sempena Sambutan Hari Belia Negara peringkat negeri.
Dalam aspek pembangunan kemahiran, Hajiji berkata, Kerajaan Negeri terus memperkukuh Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta program latihan teknikal di negeri ini.
“Lebih 179 kursus dalam bidang sains, teknologi, inovasi dan bahasa telah dijalankan tahun lalu, melibatkan lebih 35,000 penyertaan. Kita juga menggalakkan belia menceburi industri minyak dan gas Sabah yang semakin berkembang bagi meningkatkan kemahiran dan memenuhi keperluan sektor tenaga pada masa hadapan,” katanya.
Beliau berkata, pembangunan belia dalam bidang sukan turut diberi perhatian melalui pembinaan dan menaik taraf infrastruktur sukan seperti kompleks sukan, gelanggang belia dan gelanggang serbaguna di kawasan luar bandar yang kini dimanfaatkan oleh masyarakat setempat.
Pada masa sama, katanya, program berimpak tinggi seperti Felo Sabah Maju Jaya (Felo SMJ) dan Majlis Belia Sabah yang dilaksanakan bersama MBS serta Inkubator Kepimpinan Belia Sabah (IKEBS) menyediakan platform terbaik untuk anak muda mengasah bakat dalam ekosistem kepimpinan dan tadbir urus negeri.
Hajiji turut menyatakan keyakinan terhadap peranan Majlis Belia Sabah yang disokong oleh KBSS sebagai badan utama dan tulang belakang gerakan belia negeri ini.
“Oleh itu, saya mahu Majlis Belia Sabah terus memimpin golongan belia di seluruh negeri dengan penuh dedikasi dan terus memperkenalkan inisiatif serta program terbaik, relevan dan inklusif demi pembangunan holistik generasi muda,” katanya.
Hajiji turut menyeru golongan belia agar terus bersama Kerajaan serta menyokong segala inisiatif demi kebaikan mereka dan kesejahteraan rakyat.
“Marilah kita bekerjasama dengan Kerajaan untuk mengekalkan kestabilan politik dan kemajuan ekonomi melalui kerjasama dan sokongan berterusan. Ini penting bagi memastikan kelancaran pelaksanaan pembangunan di negeri ini.”


































