Valeria Marquez
ZAPOPAN: Seorang bintang TikTok dan pempengaruh kecantikan, Valeria Marquez, 23, dilaporkan maut selepas ditembak ketika sedang melakukan siaran langsung dari salon miliknya di Jalisco, Mexico.
Menurut Utusan Malaysia, mangsa yang mempunyai lebih 150,000 pengikut di Instagram, sedang berinteraksi bersama pengikutnya di TikTok apabila seorang lelaki tiba di premisnya di bandar Zapopan, kononnya untuk menghantar bungkusan.
Menurut rakaman siaran langsung tersebut, Marquez sempat membuka bungkusan yang mengandungi anak patung dan beberapa saat kemudian, dia dilihat rebah di kerusinya dalam keadaan berlumuran darah.
Siaran langsung itu kemudian dihentikan selepas seorang individu tidak dikenali mengambil telefonnya.
Wajah individu terbabit turut kelihatan secara sepintas lalu di kamera.
Pihak berkuasa kini menyiasat kes berkenaan sebagai kes femisid iaitu pembunuhan terhadap wanita berdasarkan jantina mangsa.
Insiden tragis itu mengejutkan peminat Marquez, yang rata-rata menyifatkannya sebagai seorang yang baik dan menyenangkan.
Kes tembakan ini berlaku hanya beberapa hari selepas pembunuhan seorang calon datuk bandar, Yesenia Lara Gutiérrez di Veracruz, yang turut ditembak ketika siaran langsung.
Kematian dua wanita itu mencetuskan kebimbangan masyarakat Mexico yang sudah sekian lama berdepan kadar jenayah pembunuhan dan keganasan terhadap wanita yang tinggi.
Statistik rasmi menunjukkan sebanyak 847 kes femisid direkodkan di Mexico tahun lalu.


































