BEIJING: Pakar kesihatan di China memberi jaminan wabak Covid-19 masih berada dalam keadaan terkawal, walaupun terdapat sedikit peningkatan kes positif dalam kalangan pesakit bergejala seperti influenza yang dilaporkan di klinik pesakit luar.
Sepanjang tempoh pemantauan dari 31 Mac hingga 4 Mei, kadar positif Covid-19 dalam kalangan kes bergejala seperti selesema di jabatan pesakit luar dan kecemasan meningkat daripada 7.5 peratus kepada 16.2 peratus, menurut data Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) China, kelmarin.
Menurut Utusan Malaysia, data itu turut menunjukkan dalam kalangan kes jangkitan pernafasan akut yang teruk dan dimasukkan ke hospital, kadar positif Covid-19 meningkat daripada 3.3 peratus kepada 6.3 peratus.
Antara 14 April dan 4 Mei, Covid-19 mengatasi rhinovirus sebagai patogen utama yang menyebabkan lawatan ke klinik pesakit luar dan jabatan kecemasan bagi kes penyakit seperti influenza.
Walaupun terdapat sedikit peningkatan dalam jumlah kes, doktor menekankan bahawa ia hanyalah situasi biasa, lapor Health Times semalam.
Ketua pakar di pusat penyakit berjangkit di Hospital Rakyat Kelapan Guangzhou, Dr Cai Weiping berkata, tiada perbezaan antara gelombang jangkitan Covid-19 kali ini dengan sebelumnya, dengan sangat rendah pesakit kritikal memerlukan rawatan di hospital.
Beliau berkata, tiada pesakit Covid-19 kritikal kini ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU).
“Tiada peningkatan ketara dalam jumlah pesakit di klinik, tetapi kadar positif Covid-19 meningkat sederhana.
“Ini sesuatu yang biasa memandangkan sudah 10 bulan berlalu sejak kemuncak terakhir Covid-19, dan paras antibodi dalam kalangan orang ramai mungkin menurun atau hilang,” katanya.
Ketua pakar perubatan di Jabatan Penyakit Berjangkit Hospital Union Wuhan, Dr Zhao Lei berkata, perkara biasa bagi Covid-19 dan penyakit pernafasan lain yang serupa untuk mengalami tempoh penularan yang berubah-ubah.
Namun, beliau memberi amaran agar orang ramai tetap berwaspada.


































