Dr. Joachim menandatangani plak sebagai tanda perasmian dewan mini baharu itu.
RANAU: Timbalan Ketua Menteri II, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam menyeru penduduk kampung agar memelihara kemudahan yang disediakan Kerajaan demi kepentingan bersama, khususnya dewan mini yang baru dibina di Kampung Togop Laut, Ranau.
Dr. Joachim yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kundasang berkata, dewan mini itu merupakan naik taraf daripada balai raya lama yang kini lebih selesa dan serba guna untuk pelbagai aktiviti komuniti.
“Dahulunya kita cuma bagi balai raya. Tapi kali ini kita ubah suai sedikit, kita membina sebuah dewan mini. Sekurang-kurangnya, penduduk kampung dapat melaksanakan aktiviti bersama, bermain badminton serta aktiviti sukan, dan berlindung daripada hujan serta panas terik,” katanya ketika merasmikan Dewan Mini dan Sambutan Kaamatan Kampung Togop Laut, kelmarin (12 Mei).

Dr. Joachim (duduk, tengah) bergambar kenangan dengan kru rancangan Mansau Ansau, RTM selepas membuat sesi rakaman.
Beliau menekankan kepentingan menjaga dewan tersebut agar manfaatnya dapat dinikmati dalam jangka panjang.
“Inilah yang dilaksanakan dalam DUN Kundasang untuk meningkatkan lagi kemudahan bagi orang kampung. Saya harap semua penduduk dapat menjaganya sebaik mungkin,” katanya.
Dr. Joachim turut merakamkan penghargaan kepada jentera pentadbiran kampung termasuk Ketua Kampung, Pengerusi JKKK, Ketua Anak Negeri dan Wakil Ketua Anak Negeri yang membantu mengenal pasti keperluan rakyat di peringkat akar umbi.

Dr. Joachim menyempurnakan gimik perasmian dengan paluan gong sambil disaksikan oleh semua yang hadir.
Dalam aspek pembangunan, beliau memaklumkan bahawa pihaknya menerima permohonan projek bernilai RM10 juta, namun peruntukan yang diluluskan hanya RM3 juta.
“Kita akan teliti permohonan dan utamakan mana-mana yang paling mendesak. Laporkan kepada Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) serta Pejabat Daerah agar tindakan dapat diambil,” ujar Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan itu.
Beliau turut mengucapkan tahniah kepada penduduk Togop Laut atas kemudahan baru itu dan menzahirkan keyakinan bahawa lebih banyak peruntukan dapat disalurkan sekiranya Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) kekal memerintah.

Dr. Joachim menyantuni orang ramai yang hadir ke majlis itu.
“Kalau ada peluang tahun hadapan dan GRS kekal, saya percaya peruntukan akan dipertingkatkan lagi. GRS adalah kerajaan terbaik setakat ini, berjaya meningkatkan hasil negeri sehingga mencecah RM7 bilion dalam tempoh lima tahun,” katanya.
Menurut beliau, projek jalan besar seperti laluan Tarawas/Kaingaran dan dari Singgaron-Mansalu kini dalam pembinaan dan dibiayai oleh Kerajaan Persekutuan.
Dr. Joachim turut menekankan bahawa Kerajaan GRS komited membantu rakyat dalam aspek pendidikan dan ekonomi bagi melahirkan modal insan cemerlang.
Dalam majlis itu, turut diadakan penyerahan bantuan bakul makanan dan pengagihan sayur-sayuran yang disumbangkan oleh beberapa syarikat serta Ketua Kampung dari kawasan Kundasang.
Dr. Joachim mengucapkan terima kasih kepada para penyumbang termasuk Bataras, Speedmart dan komuniti petani setempat atas sumbangan mereka.