Haji Hajiji Haji Noor
KOTA KINABALU: Penubuhan Majlis Penasihat Buruh Sabah (SLAC) yang baharu akan membantu melindungi hak pekerja dan mengharmonikan hubungan tiga pihak antara Kerajaan, majikan dan pekerja di Sabah, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor.
“Penubuhan SLAC akan memastikan hak dan kebajikan pekerja di Sabah lebih terjamin di samping membantu majikan menjalankan perniagaan dengan lebih teratur dan sistematik.
“Saya berharap SLAC akan menjadi platform untuk majikan dan pekerja berkongsi pandangan serta mengemukakan cadangan berkaitan isu buruh kepada Kerajaan supaya dasar dan undang-undang yang lebih sesuai dengan landskap perindustrian Sabah dapat dilaksanakan,” katanya.
Berucap pada Majlis Pelantikan Ahli Tetap SLAC dan Mesyuarat Pertamanya di Shangri-La Tanjung Aru Resort di sini hari ini, Hajiji berkata, SLAC juga berperanan memperkukuh hubungan antara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan menerusi Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri dan Kementerian Sumber Manusia Persekutuan.
Ucapan beliau dibacakan oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk Dr. Mohd. Ariffin Mohd. Arif.
Hajiji berkata, perbincangan tiga pihak antara Kerajaan, majikan dan pekerja ini adalah selaras dengan Konvensyen Konsultasi Triparti Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) No. 144 Tahun 1976.
Beliau berharap ahli majlis yang terdiri daripada 16 wakil Kerajaan, 16 wakil persatuan majikan dan 16 wakil kesatuan pekerja dapat memainkan peranan serta memberi input yang bernilai kepada Kerajaan demi pembangunan ekonomi Sabah.
“Setiap keputusan yang dibuat dalam mesyuarat SLAC akan dibawa ke perhatian Kerajaan Negeri dan Persekutuan untuk tindakan lanjut,” katanya.
Hajiji berkata, pengumuman Perdana Menteri sempena Sambutan Hari Pekerja Kebangsaan tahun ini menjadi titik tolak penting dalam pentadbiran buruh di Sabah.
“Ia akan memastikan isu berkaitan seperti penghapusan buruh paksa, diskriminasi dan gangguan seksual di tempat kerja, perlindungan terhadap wanita dan kanak-kanak, pengurusan pekerja bukan pemastautin, waktu kerja anjal, perumahan dan kemudahan pekerja dapat diperkasa,” katanya.
Beliau menyatakan penyelesaian terhadap semua isu berkaitan pekerja akan memberi kesan positif kepada Sabah, khususnya dalam sektor ekonomi kerana tenaga kerja yang stabil dan sistem perundangan buruh yang efisien merupakan elemen penting dalam menarik pelabur ke negeri ini.
Ketua Menteri berkata, bagi memastikan pelaksanaan pindaan Ordinan Buruh Sabah (Pindaan) 2025 berjalan lancar, Kerajaan Negeri akan terus memperkukuh kerjasama dengan semua pihak berkepentingan.
“Saya juga menyeru semua majikan dan pemain industri menyambut baik inisiatif ini serta melaksanakan tanggungjawab mereka dengan semangat patriotisme demi kebaikan bersama,” katanya.
Beliau berkata, kerjasama antara Kerajaan, majikan dan pekerja amat penting dalam penubuhan SLAC bagi memastikan Agenda Pekerjaan yang Layak, iaitu aspirasi utama Pertubuhan Buruh Antarabangsa, dapat dilaksanakan.
“Di Sabah, aspirasi ini selari dengan pembangunan negeri yang menekankan keseimbangan antara pertumbuhan ekonomi dan kebajikan rakyat. Kita bertanggungjawab memastikan prinsip Agenda Pekerjaan yang Layak bukan sekadar slogan, tetapi diterjemah dalam setiap dasar, amalan dan tindakan,” katanya.
Dalam hal ini, Hajiji berkata, Kerajaan Negeri menyambut baik langkah Kerajaan Persekutuan menaikkan gaji minimum bulanan daripada RM1,500 kepada RM1,700 menerusi Perintah Gaji Minimum 2024.
“Kita mesti memastikan setiap pekerja di Sabah menerima gaji yang setimpal dengan sumbangan mereka,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Jabatan Tenaga Kerja Sabah atas pelaksanaan aktiviti penguatkuasaan melalui Pemeriksaan Berkanun, Siasatan Aduan dan Pengendalian Kes Mahkamah Buruh tahun lalu yang memberi manfaat kepada 13,487 pekerja melibatkan jumlah sebanyak RM22.2 juta.
Selain itu, katanya, keutamaan juga perlu diberikan kepada aspek keselamatan dan kesihatan serta pengukuhan perlindungan sosial kepada pekerja melalui Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dan Sistem Insurans Pekerjaan.
Langkah lain termasuk memperluaskan peluang pembangunan kemahiran dan kerjaya serta menjamin kebebasan bersuara dan hak untuk berpersatuan melalui kesatuan sekerja.
“Undang-undang buruh bukan satu tekanan kepada majikan, tetapi mekanisme untuk memastikan kelangsungan dan keharmonian dalam hubungan pekerjaan.
“Apabila pekerja dilindungi dan dihargai, produktiviti akan meningkat dan ekonomi akan berkembang. Inilah falsafah yang ingin kita terapkan melalui SLAC,” katanya.


































