David menyampaikan cenderahati kepada Shahril Nizam semasa kunjungan hormat itu.
KOTA KINABALU: Yayasan Pengguna Negara Malaysia (YPNM) Cawangan Sabah telah mengadakan kunjungan hormat kepada Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Sabah, Shahril Nizam Shahidin di Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan Negeri Sabah, di sini, hari ini.
Kunjungan tersebut merupakan antara usaha untuk merapatkan hubungan kerjasama antara kedua-dua pihak, selain membincangkan penyertaan YPNM dalam program-program kepenggunaan anjuran kementerian.
Turut hadir dalam kunjungan itu ialah Pengerusi YPNM Sabah, David Chan bersama ahli jawatankuasa, Ts. Yuzrian Efen Yunus dan Halizah Din.
Pihak kementerian pula diwakili Ketua Seksyen Pendayaupayaan Pengguna, Rayner Adonis serta Naini @ Petronella Anji.
Menurut David, penubuhan YPNM Sabah bertujuan membantu kerajaan dalam memantau harga barangan dan perkhidmatan (penandaan harga), menjadi pemangkin kepada gaya hidup lestari, bertindak sebagai jurucakap program kepenggunaan Kementerian, serta menyampaikan maklumat berkaitan kepenggunaan kepada masyarakat umum.
“Selain menjadi ‘mata dan telinga’ Kerajaan, YPNM Sabah juga berperanan memupuk corak penggunaan sumber alam yang optimum, kreatif dan berhemah ke arah kehidupan yang lebih lestari,” katanya.