Ellron menyampaikan trofi kepada johan perbarisan sempena kejohanan sambil diperhatikan oleh Salim (tiga dari kanan).
SOOK: Kompleks sukan baharu akan dibina di Sook tahun ini menerusi peruntukan tambahan daripada Kerajaan Negeri.
Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ellron Angin berkata, projek berkenaan dijangka memberi impak besar terhadap pembangunan sukan di peringkat tempatan serta menyediakan kemudahan riadah kepada masyarakat setempat.
“Saya yakin, dengan adanya kompleks ini, penganjuran kejohanan seperti ini akan menjadi lebih sistematik dan mampu menarik lebih banyak penyertaan pada masa akan datang,” kata ADUN Sook itu ketika merasmikan Kejohanan Olahraga MSS Zon Trusmadi kali ke-40 yang berlangsung di padang Sekolah Kebangsaan (SK) Tulid, di sini.
Turut hadir, Guru Besar S.K Tulid merangkap Pengerusi Kejohanan, Salim Linggi; Guru Besar sekolah-sekolah Zon Trusmadi; semua Penolong Kanan daripada 10 buah sekolah rendah yang terlibat; para guru yang memainkan peranan penting dalam aspek teknikal; Yang Dipertua PIBG SK Tulid, Joki Tanggulon; ibu bapa; serta para atlet dari seluruh Zon Trusmadi.
Ellron turut merakamkan penghargaan kepada pihak penganjur atas jemputan serta usaha menganjurkan temasya tahunan itu yang disifatkan sebagai platform terbaik untuk membina sahsiah murid sejak di peringkat rendah.
“Zon Trusmadi merupakan antara zon terbesar di Daerah Keningau. Saya mengucapkan tahniah kepada semua pentadbir sekolah dan PIBG atas komitmen mereka dalam memastikan kejohanan ini dapat dilaksanakan dengan jayanya,” katanya.
Beliau turut menekankan bahawa penglibatan awal murid dalam aktiviti sukan bukan sahaja dapat membentuk disiplin yang tinggi, malah menyemai semangat kesukanan dan nilai-nilai murni dalam diri pelajar.
“Sukan bukan sekadar menyihatkan tubuh dan minda, malah membina keyakinan diri, kreativiti serta inovasi dalam kalangan murid. Ini amat penting dalam menjana pembangunan modal insan holistik seperti yang disasarkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia,” ujarnya.
Sebagai wakil rakyat kawasan Sook, beliau turut menegaskan bahawa sokongan berterusan daripada ibu bapa amat penting dalam menggalakkan penyertaan anak-anak dalam aktiviti kokurikulum, bagi melahirkan pelajar yang cerdas minda dan cergas fizikal.
Majlis tersebut berakhir dalam suasana penuh semangat kesukanan, menandakan bermulanya pertandingan antara sekolah-sekolah rendah Zon Trusmadi dalam pelbagai acara olahraga.