PETALING JAYA: Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul mengesahkan belum menerima sebarang usul daripada ahli Parlimen untuk meminda kuota satu pertiga atau 35 peratus kerusi Parlimen Sabah dan Sarawak.
Menurut Utusan Malaysia, beliau berkata, usul itu perlu dikemukakan oleh eksekutif kerajaan pada peringkat dasar supaya boleh dibincangkan oleh semua Ahli Parlimen di Dewan Rakyat.
“Saya belum lagi menerima usul itu. Saya hanya Speaker yang mengendalikan perbahasan dan akan menyerahkan perkara ini kepada eksekutif kerajaan.
“Jika terima cadangan itu, terpulanglah sebab apa sahaja yang dibincangkan di Parlimen adalah keputusan eksekutif. Namun, sehingga ini saya tidak menerima usul itu,” katanya dalam sidang akhbar di Kuching, semalam.
Pada 13 April lalu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof mencadangkan rundingan bagi meminda kuota satu pertiga atau 35 peratus kerusi Parlimen Sabah dan Sarawak perlu dibuat secara bersemuka khususnya dengan setiap Ahli Parlimen di Semenanjung.
Beliau berkata pendekatan sama diambil Yang Dipertua Negeri Sarawak, Tun Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar ketika menyandang jawatan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) sebagai usaha meminda Perkara 160 Perlembagaan Persekutuan.
Fadillah menjelaskan tuntutan kerusi Parlimen menjadi satu tuntutan yang agak kompleks dan mencabar kerana memerlukan rundingan pada peringkat kementerian dan agensi.
Malah, lebih penting katanya, daripada sudut politik iaitu berunding dengan setiap Ahli Parlimen untuk mendapat sokongan serta memberi penjelasan mengapa ia perlu dipinda.
Ketika ini, Ahli Parlimen Semenanjung termasuk Wilayah Persekutuan merangkumi 75 peratus atau 161 daripada 222 kerusi, manakala Sarawak 31 kerusi dan Sabah 25.


































