Rhodes Panilau
KIULU: Tindakan pihak pembangkang yang mempolitikkan isu runtuhan jalan di KM2.45 Jalan Tamparuli-Kiulu susulan hujan lebat baru-baru ini amat dikesali oleh pelbagai pihak.
Runtuhan yang berlaku akibat bencana alam itu telah dijadikan modal politik, sedangkan tindakan proaktif Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.15 Kiulu, Datuk Joniston Bangkuai jelas membuktikan komitmennya yang konsisten dalam menangani isu infrastruktur di kawasan tersebut.
“Saya kesal kerana pihak pembangkang lebih gemar menuding jari tanpa mengambil kira usaha-usaha yang telah dan sedang dilakukan,” kata Ketua Pemuda Parti Bersatu Sabah (PBS) Kiulu, Rhodes Panilau dalam kenyataan hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Naib Ketua Penyelaras KDM Kiulu, Joluin Joiruh, yang dilaporkan dalam sebuah portal menuduh kononnya pemimpin DUN Kiulu dan agensi kerajaan tidak mengutamakan kepentingan rakyat dan membiarkan kerosakan jalan di KM2.45 itu berlarutan.
Rhodes turut mempersoalkan sama ada bakal calon Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) Kiulu, Henry Soimpon pernah mendesak Presidennya, Datuk Peter Anthony supaya membina atau menaik taraf jalan berkenaan semasa Peter menjawat jawatan Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah dari 2018 hingga 2020.
“Masalah ini sudah wujud sewaktu Presiden KDM memegang jawatan penting sebagai Menteri yang bertanggungjawab terhadap JKR selama lebih dua tahun,” katanya.
Sementara itu, Joniston terus komited menyelesaikan isu ini dengan mengadakan pertemuan dan perbincangan berterusan bersama Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah dan Jurutera JKR Daerah Tuaran.
Untuk makluman, pada 22 April lalu, Joniston telah bertemu dengan Pengarah JKR Sabah, manakala pada bulan Mac beliau turut mengadakan sesi libat urus bersama Pejabat JKR Daerah Tuaran bagi mendapatkan perkembangan terkini serta memastikan masalah infrastruktur di kawasan Kiulu diberi perhatian serius.
“Saya sendiri turut bersama dalam beberapa sesi pertemuan dan libat urus ini,” tambah Rhodes.
Beliau berharap pihak pembangkang bersikap lebih rasional serta bekerjasama demi kepentingan rakyat dan bukan sekadar menggunakan isu ini sebagai alat untuk meraih simpati politik.


































