Seorang pengawal keselamatan berkawal di pintu masuk kemudahan perkhidmatan penerbangan Boeing berhampiran Lapangan Antarabangsa Pudong Shanghai di Shanghai.
WASHINGTON: Kebanyakan pelabur dalam syarikat pembuat kapal terbang, Boeing kini tidak lagi berselindung menyatakan kebimbangan mereka berhubung perang tarif yang dicetuskan oleh Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump.
Menurut Utusan Malaysia, mereka takut sekiranya kesan akibat pelaksanaan tarif itu mungkin lebih besar daripada yang dijangkakan.
Kebimbangan itu susulan selepas beberapa pesawat Boeing 737 Max yang sepatutnya digunakan oleh syarikat penerbangan China dipulangkan semula ke Amerika Syarikat (AS).
Pelaksanaan tarif itu juga menyaksikan harga saham Boeing jatuh hampir tiga peratus pada Isnin, sejajar dengan penjualan di seluruh Wall Street.
Pasaran saham AS mengalami turun naik yang jauh lebih tinggi bulan ini apabila pelabur cuba memahami kesan tarif yang dikenakan Trump.
Tarif Trump terhadap barangan dari hampir semua negara menyebabkan ‘gangguan ekonomi’ di seluruh dunia, tetapi perdagangan antara AS dan China paling terjejas.
Perang perdagangan dengan levi sebanyak 145 peratus terhadap import dari AS dan 125 peratus terhadap barangan China turut memberi tempias kepada industri penerbangan.
Ini menjadikan tarif sebanyak 125 peratus sebagai satu halangan besar, melainkan model perniagaan syarikat penerbangan diubah secara drastik.
KETIDAKTENTUAN DASAR PERDAGANGAN
Pengarah Urusan AeroDynamic Advisory, Richard Aboulafia berkata, pentadbiran Trump menunjukkan tahap ‘kebodohan’ yang mendalam mengenai selok-belok industri aeroangkasa, sambil memberi amaran tarif jangka panjang berpotensi menjejaskan masa depan Boeing.
Aboulafia menjelaskan, kesan jangka pendek terhadap tunai Boeing mungkin terhad, tetapi menegaskan syarikat itu perlu menentang keras dasar tarif Trump, terutama bagi mengelakkan perang perdagangan yang membawa malapetaka dengan seluruh dunia.
“Bagi pasaran China, dalam jangka panjang ia akan memberi kesan,” katanya.
Syarikat penerbangan China dijangka menyumbang sehingga satu perlima daripada jualan pesawat baharu di satu daripada pasaran utama melibatkan Boeing dan pesaing Eropah, Airbus.
Beijing kelmarin memberi amaran akan mengambil tindak balas tegas dan setimpal terhadap mana-mana negara berunding dengan Washington jika perjanjian itu merugikan China.
Bagaimanapun, industri penerbangan global lain mungkin kurang terkesan dengan langkah balas China, memandangkan kebergantungan negara itu terhadap pesawat buatan AS dan Eropah.
PULANG SEMULA PESAWAT
Sebuah pesawat Boeing yang sepatutnya digunakan oleh syarikat penerbangan China dilaporkan mendarat semula di pusat pengeluaran syarikat itu di AS, Ahad lalu.
737 Max, yang ditujukan untuk Xiamen Airlines, mendarat di Lapangan Boeing Seattle pada 6.11 petang (waktu tempatan), menurut saksi Reuters.
Pesawat itu merupakan satu daripada beberapa pesawat 737 Max iaitu model terlaris Boeing yang kini berada di pusat Boeing di Zhoushan untuk kerja akhir dan penghantaran.
Syarikat penerbangan China yang menerima pesawat Boeing berisiko mengalami tekanan kewangan akibat tarif, memandangkan 737 Max baharu dianggarkan bernilai AS$55 juta (RM240.7 juta), menurut firma perundingan penerbangan IBA.
Beijing mempertimbang langkah untuk menyokong syarikat penerbangan yang menyewa pesawat Boeing dan kini berdepan kos lebih tinggi.
Minggu lalu, kerajaan China dilaporkan meminta syarikat penerbangan negara supaya menghentikan sementara pembelian peralatan dan alat ganti pesawat daripada syarikat AS seperti Boeing.
China dianggarkan menyumbang sekitar 20 peratus daripada permintaan global terhadap pesawat dalam tempoh dua dekad akan datang.
Boeing sebelum ini memaklumkan sekurang-kurangnya 130 pesawat buatannya dijadualkan dihantar ke China pada akhir Mac lalu untuk kegunaan dua syarikat penerbangan negara tersebut.
Penganalisis menjangkakan kekeliruan berhubung perubahan tarif boleh menyebabkan banyak penghantaran pesawat tergantung, dengan beberapa ketua pegawai eksekutif syarikat penerbangan memilih untuk menangguhkan penghantaran pesawat daripada membayar duti import.


































