Harun Durabi
KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri telah meningkatkan peruntukan Biasiswa Kerajaan Negeri Sabah (BKNS) daripada RM113.17 juta kepada RM125 juta bagi tahun 2025, kata Pembantu Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah (KSTI), Datuk Harun Durabi.
Beliau berkata, langkah itu adalah sebahagian daripada usaha kerajaan untuk menaja lebih ramai anak Sabah melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi (IPT) dalam dan luar negara, dengan keutamaan diberi kepada bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).
Harun menjawab soalan Calvin Chong Ket Kiun (Elopura) dan Jannie Lasimbang (Kapayan) pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah hari ini.
Calvin bertanya tentang usaha kementerian membantu pelajar lepasan sekolah menengah untuk melanjutkan pengajian, termasuk peluang biasiswa, kemasukan ke IPTA dan program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), selain menaik taraf sekolah daif di kawasan pedalaman Sabah.
Jannie pula bertanya mengenai dasar kementerian berkaitan peranan teknologi hijau dalam membentuk generasi baharu yang mampan serta pelaburan dalam teknologi dan inovasi bagi menggalakkan penggunaan sumber boleh diperbaharui dan teknologi mesra alam.
Harun menjelaskan, dua agensi utama di bawah KSTI yang bertanggungjawab dalam pelaksanaan program TVET ialah Jabatan Pembangunan Sumber Manusia (JPSM) dan Sabah Skills and Technology Centre (SSTC).
“Institut Latihan Teknik dan Perindustrian (ILTP) di bawah JPSM menyediakan peluang kepada belia yang tercicir atau tidak berpeluang menyambung pelajaran ke IPT untuk mengikuti program TVET.
“ILTP menawarkan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap 2 dan 3 yang mendapat akreditasi daripada Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK), serta peluang untuk melanjutkan ke Diploma Kemahiran Tahap 4 dan Diploma Lanjutan Tahap 5,” katanya.
Beliau berkata, JPSM turut bekerjasama dengan Universiti Kuala Lumpur (UniKL) bagi membolehkan pelajar menyambung pengajian ke peringkat diploma dengan pembiayaan BKNS.
Sementara itu, SSTC pula menawarkan program latihan kemahiran berorientasikan keperluan industri dalam bidang seperti minyak dan gas, keselamatan dan kesihatan, perhotelan, kulinari serta pengurusan perladangan.
“Sijil yang dikeluarkan SSTC diiktiraf oleh Malaysian Qualifications Agency (MQA) dan International Institute of Plantation Management (IIPM),” katanya.
Harun turut memaklumkan bahawa Pejabat Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Tugas-Tugas Khas) menyediakan pelbagai bantuan pendidikan termasuk Bantuan Tunai Pendaftaran IPT Secara One-Off (BUDI), Bantuan Ihsan Komputer (BAIK) dan Bantuan Khas Program Pendidikan (BANTU).
Dalam pada itu, beliau berkata, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) melalui Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPN Sabah) telah melaksanakan pelbagai inisiatif menaik taraf sekolah daif, khususnya di kawasan pedalaman.
Antara inisiatif itu termasuk pelaksanaan hampir 250 projek gantian sekolah daif sejak Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11) hingga RMK12, serta 62 projek tambahan di bawah RMK13RP1 yang melibatkan kos keseluruhan RM5.27 bilion.
“Bagi tahun 2025, sebanyak RM30 juta diperuntukkan untuk menaik taraf 28 sekolah daif yang berada dalam skala 6 dan 7 di Sabah sebagai penyelesaian jangka pendek,” jelasnya.
Selain itu, katanya, KPM juga menyediakan peruntukan penyelenggaraan dan pembaikan infrastruktur sekolah berdasarkan permohonan dan keperluan semasa yang dikemukakan oleh JPN Sabah.
Mengulas mengenai dasar teknologi hijau, Harun berkata, Kerajaan Negeri melaksanakan Dasar Alam Sekitar Negeri Sabah sejak 2017 bagi tempoh pelaksanaan 2018 hingga 2033, sebagai panduan dalam pengurusan alam sekitar dan sumber semula jadi.
“Sebanyak 83 strategi dan 195 tindakan digariskan dalam dasar itu yang merangkumi aspek tanah, udara, air, biodiversiti dan sosial,” katanya.


































