Nizam Abu Bakar Titingan
KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri perlu mematuhi mekanisme ditetapkan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dalam menyalurkan bantuan kepada mangsa bencana, termasuk banjir, kata Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan.
Beliau berkata, garis panduan itu selaras dengan Arahan NADMA No. 1 yang berkuat kuasa sejak 1 Ogos 2024 dan sebelum ini dikenali sebagai Arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN) No. 20.
“Arahan ini menggariskan dasar serta mekanisme pengurusan dan pengurangan risiko bencana secara menyeluruh, merangkumi fasa sebelum, semasa dan selepas kejadian,” katanya ketika menjawab soalan Datuk Seri Panglima Yong Teck Lee (ADUN Dilantik) pada Persidangan Dewan Undangan Negeri Sabah, hari ini.
Yong ingin tahu sama ada Kerajaan Negeri boleh mempertimbang memberikan bantuan kepada mangsa bencana yang berdaftar tetapi tidak berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS), berbanding hanya kepada mereka yang berpindah.
Mengulas lanjut, Nizam berkata, pengurusan bencana di Malaysia dilaksanakan mengikut tiga tahap, iaitu Pusat, Negeri dan Daerah, dengan penglibatan pelbagai agensi berkepentingan.
“Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) tertakluk kepada Arahan NADMA No. 1, yang memperuntukkan bahawa hanya mangsa yang berpindah atau didaftarkan ke PPS oleh petugas Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am (JPKA) layak menerima Bantuan Wang Ihsan (BWI) sebanyak RM1,000,” katanya.
Menurut beliau, pendaftaran itu juga perlu disahkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) sebelum permohonan disalurkan kepada Pengerusi JPBN.
Katanya, ketetapan ini bertujuan memastikan penyampaian bantuan lebih teratur dan hanya kepada mereka yang benar-benar terjejas serta mengikuti prosedur pengurusan bencana yang ditetapkan.


































