Jannie Lasimbang
KOTA KINABALU: Kerajaan perlu memberikan pembelaan kepada golongan ibu tunggal dan balu yang terus berada dalam kesempitan hidup dalam usaha meneruskan kelangsungan keluarga mereka, kata ADUN Kapayan, Jannie Lasimbang.
Menurutnya, di Kapayan, salah satu kelompok masyarakat yang sering terpinggir adalah ibu tunggal dan balu yang masih membesarkan anak-anak mereka.
“Mereka bukan tidak berusaha, malah ramai yang bekerja dua pekerjaan demi kelangsungan hidup. Namun mereka tersepit – tidak cukup miskin untuk layak menerima bantuan dalam sistem seperti e-Kasih, tetapi juga tidak cukup mampu untuk berdikari tanpa sokongan.
“Kos sara hidup yang semakin meningkat menambahkan beban, dan mereka tidak mempunyai ‘safety net’ apabila berlaku krisis dalam keluarga,” katanya.
Tambah beliau, golongan ini tidak menuntut simpati, sebaliknya hanya mengharapkan peluang untuk membesarkan anak-anak mereka dengan maruah serta sedikit kelegaan dalam perjuangan harian.
Sehubungan itu, beliau memohon agar Kerajaan mempertimbangkan satu skim bantuan khas penjagaan anak bagi ibu tunggal dan balu yang bekerja.
Membahas Ucapan Dasar Kerajaan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah hari ini, Jannie turut merakamkan penghargaan kepada Kerajaan atas pelaksanaan 40 unit Rumah Mesra SMJ dan pemberian pelbagai bantuan sara hidup pada tahun ini yang dilihat mampu meringankan beban masyarakat setempat.
“Syabas juga kepada pemimpin setempat dan Sekretariat SMJ atas usaha mengemas kini sistem pangkalan data bagi memastikan mereka yang tercicir daripada senarai e-Kasih turut menerima bantuan SYUKUR,” katanya.
Dalam hal memperkasakan modal insan, beliau menyokong inisiatif seperti SENTOSA dan SUKSES yang amat penting bagi pelajar daripada keluarga B40.
Namun, katanya, ramai pelajar luar bandar masih terlepas peluang kerana tiada akses maklumat atau tidak mampu melanjutkan pelajaran selepas SPM atau STPM.
“Justeru, saya mencadangkan agar pihak sekolah, dengan kerjasama Kerajaan negeri, mengambil peranan lebih aktif untuk memastikan tiada pelajar tercicir daripada peluang pendidikan tinggi.
“Bagi golongan belia, saya ingin menekankan kepentingan hubungan antara pembangunan sosio-budaya dan kesejahteraan mereka. Kita harus membantu membentuk asas kehidupan yang kukuh dan bermakna untuk generasi muda,” katanya.
Dalam pada itu, Jannie mengalu-alukan penubuhan Pusat Autisme Sabah dan mencadangkan agar lebih banyak sokongan diberikan kepada kanak-kanak OKU. Ini termasuklah penambahan peruntukan secara sistematik dan berterusan kepada NGO yang menjalankan khidmat sosial kepada golongan tersebut.
“Bagi anak-anak autisme, terapi di Pusat Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) hanya bermula pada usia enam tahun, sedangkan intervensi awal adalah sangat penting.
“Saya berharap Pusat Autisme Sabah dapat menyediakan perkhidmatan terapi seawal usia tiga atau empat tahun,” katanya.
Beliau juga mencadangkan agar kerajaan mewujudkan program bimbingan atau sokongan psikososial kepada ibu bapa yang membesarkan anak-anak autisme.
“Ramai daripada mereka menghadapi tekanan emosi dan sosial yang tinggi, dan memerlukan ruang untuk belajar, berkongsi pengalaman serta mendapatkan sokongan,” katanya.
Menyentuh sasaran Kerajaan untuk menerima kehadiran 3.5 juta pelancong menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026, beliau menekankan pentingnya manfaat turut dinikmati oleh penduduk kawasan perbandaran Penampang, khususnya pemain industri kecil dan komuniti tempatan.
Pada masa yang sama, katanya, Kerajaan perlu memastikan agar alam semula jadi tidak menjadi mangsa pencemaran dan penduduk tidak terbeban dengan peningkatan tekanan terhadap bekalan air sedia ada.
“Maka saya ingin menekankan betapa pentingnya kerja-kerja pembersihan parit dan longkang serta pembaikan jalan raya dilakukan secara berkala dan berjadual, tanpa menunggu aduan.
“Saya mencadangkan agar jabatan dan pemegang konsesi yang dipertanggungjawabkan memastikan kerja-kerja ini dilaksanakan dengan efisien dan tepat pada masanya.
“Langkah-langkah proaktif seperti pemasangan Sistem Amaran Awal (Early Warning System) di kawasan berisiko banjir juga perlu dipercepatkan,” katanya.
12 Koloni Setinggan Di Kapayan Membimbangkan
Dalam perkembangan lain, Jannie memaklumkan bahawa Kapayan kini mempunyai 12 koloni setinggan, sesuatu yang amat membimbangkan kerana kes kecurian air dan elektrik semakin berleluasa.
“Daripada 12 koloni tersebut, notis pengusiran telah dikeluarkan sebanyak tiga kali, namun masih belum ada penyelesaian jangka panjang.
“Apakah dasar Kerajaan Sabah berkaitan isu setinggan, khususnya yang melibatkan penduduk majoritinya bukan warganegara?” soal beliau.
Selain itu, beliau turut menyentuh beberapa perkara lain termasuk agenda Peralihan Tenaga dan sasaran Neutral Karbon menjelang tahun 2050, aspek Governans, Integriti dan Antirasuah (GIA), Sistem i-Adu, Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), serta isu perubahan iklim di Sabah.
Jannie turut membangkitkan isu penjagaan warga emas, pengukuran dan pengeluaran geran tanah atau rizab Anak Negeri, pembangunan berasaskan keperluan rakyat, serta keperluan menaik taraf infrastruktur di kawasan Kapayan.
































