Julita Majungki
KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri bersetuju menerima amaun baharu bayaran interim Pemberian Khas untuk Sabah dan Sarawak yang dinaikkan kepada RM600 juta bagi tahun 2025.
Pembantu Menteri Kewangan I, Datuk Julita Mojungki berkata, amaun tersebut diterima sebagai satu penyelesaian interim sementara menunggu perintah baharu digubal dan diwartakan, bagi membolehkan pelaksanaan pembayaran Pemberian Khas bagi tahun tersebut.
Katanya, keputusan itu adalah selari dengan penjelasan yang pernah diberikan oleh Kementerian Kewangan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada November tahun lalu.
“Rundingan akan diteruskan sehingga satu amaun baharu dapat dipersetujui bersama oleh Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan,” jelas Julita ketika menjawab soalan daripada Datuk Darell Leiking (Moyog) dan Alias Sani.(Sekong) pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah hari ini.
Darell bertanya mengenai jumlah keseluruhan 40 peratus hasil cukai yang menjadi hak Sabah sejak tahun 1971 sebagaimana termaktub dalam Perkara 112C Perlembagaan Persekutuan, manakala Alias bertanya status terkini tuntutan 40 peratus hasil daripada Sabah yang dibincangkan dalam Majlis Tindakan Pelaksanaan MA63 (MTPMA63).
Julita menjelaskan bahawa MTPMA63 Bilangan 1 Tahun 2025 telah diadakan pada 13 Mac lalu di Putrajaya dan dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof.
Mesyuarat itu memutuskan sesi rundingan antara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan akan diadakan pada 30 Jun 2025.
“Kementerian saya juga telah menjelaskan dalam sidang DUN sebelum ini bahawa Kerajaan Negeri tidak mempunyai data lengkap berkenaan hasil-hasil yang dikutip oleh Kerajaan Persekutuan di Sabah.
“Walaupun permohonan perkongsian data telah dibuat sebanyak 13 kali, Kerajaan Persekutuan masih belum memberikan maklum balas. Ini menyukarkan Kerajaan Negeri untuk membuat pengiraan hasil bersih Persekutuan di negeri ini,” ujarnya.
Walau bagaimanapun katanya, Kerajaan Negeri telah menggunakan data sedia ada serta andaian yang munasabah daripada kajian terdahulu untuk menganggarkan amaun Pemberian Khas.
Susulan itu, Kerajaan Negeri telah mengemukakan tuntutan amaun Pemberian Khas bagi tahun 2023 kepada Kerajaan Persekutuan serta menegaskan pendirian untuk mengekalkan formula asal seperti yang termaktub dalam Perkara 112C dan Bahagian IV Jadual Kesepuluh Perlembagaan Persekutuan – iaitu dua per lima atau 40 peratus daripada hasil bersih Persekutuan di Sabah.
Julita berkata, tuntutan tersebut turut merangkumi bayaran bagi ‘tahun-tahun yang hilang’ kerana tiada semakan semula dilakukan sejak tahun 1974 sehingga kini.
“Sekiranya rundingan gagal mencapai persetujuan bersama, maka seorang penaksir bebas perlu dilantik selaras dengan Perkara 112D(6) Perlembagaan Persekutuan,” tegas beliau.
































