BEIJING: Angin kencang menyebabkan kekacauan di Beijing dan beberapa bahagian utara China hari ini, mengakibatkan ratusan penerbangan dibatalkan dan perkhidmatan kereta api digantung.
Menurut Utusan Malaysia, Pentadbiran Meteorologi China (CMA) berkata, angin kencang itu berpunca daripada sistem pusaran sejuk yang terbentuk di Mongolia dan bergerak ke timur serta selatan, melanda utara China bermula Jumaat hingga hujung minggu.
“Angin paling kuat dijangka berlaku hari ini, dengan kelajuan angin di beberapa stesen pemerhatian menghampiri atau melebihi rekod sejarah bagi tempoh yang sama sejak tahun 1951,” kata CMA dalam satu kenyataan.
Terdahulu, Beijing mengeluarkan amaran jingga – tahap kedua tertinggi – untuk angin kencang, kali pertama dalam tempoh sedekad, bagi hujung minggu ini.
Setakat Sabtu, sebanyak 413 penerbangan di Lapangan Terbang Antarabangsa Beijing dibatalkan, menurut penyiar rasmi CCTV.
Perkhidmatan kereta api termasuk laluan ekspres ke lapangan terbang dan beberapa laluan kereta api laju turut digantung, lapor CCTV.
Destinasi tarikan pelancong seperti Summer Palace, Temple of Heaven, Zoo Beijing dan taman tema Universal Studios juga ditutup sementara pada Sabtu.
Hampir 300 pokok tumbang dan 19 kenderaan rosak akibat angin kencang di ibu negara, namun tiada kecederaan dilaporkan setakat ini di Beijing.
China merupakan penyumbang terbesar gas rumah hijau di dunia yang menurut saintis menjadi punca perubahan iklim serta peningkatan kekerapan cuaca ekstrem.
Puluhan orang terbunuh dan ribuan lagi dipindahkan akibat ribut yang menyebabkan banjir teruk di seluruh negara tahun lalu.


































