James menyempurnakan gimik perasmian program berkenaan.
KOTA KINABALU: Kementerian Kesihatan (KKM) digesa mengambil langkah segera untuk menambah bilangan Penolong Pegawai Perubatan di Hospital Queen Elizabeth II, yang kini berfungsi sebagai Pusat Jantung Sabah.
Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk James Ratib berkata, langkah ini amat penting bagi memastikan pusat berkenaan dapat beroperasi pada tahap optimum.
“Jawatan ini sangat kritikal bagi menjamin keberkesanan dan kelancaran pelaksanaan pelbagai prosedur kepakaran jantung di hospital tersebut.
“Antara prosedur kompleks yang dilaksanakan oleh Penolong Pegawai Perubatan termasuk Transthoracic Echocardiogram (TTE), Exercise Stress Test Echocardiogram, Pacemaker Interrogation serta Advanced Haemodynamic Intracardiac Monitoring. Mereka juga terlibat dalam Adjunctive Invasive Cardiovascular Procedures dan Electrophysiological Studies (EPS), yang memerlukan kepakaran dan latihan khusus,” katanya.
James menekankan bahawa tanpa penambahan perjawatan yang mencukupi, perkhidmatan kepakaran jantung yang semakin berkembang ini akan berdepan kekangan sumber manusia.
Menurut beliau, peningkatan jumlah perjawatan ini bukan sahaja akan memperkukuh sistem kesihatan negeri, malah memberi manfaat menyeluruh kepada rakyat Sabah, khususnya mereka yang memerlukan rawatan jantung pakar.
“Sabah tidak boleh ketinggalan dalam menyediakan perkhidmatan kesihatan bertaraf tinggi kepada penduduknya,” katanya ketika merasmikan program derma darah besar-besaran anjuran Bahagian Penolong Pegawai Perubatan, Jabatan Kesihatan Negeri Sabah dengan kerjasama Persatuan Pembantu Perubatan Sabah di Hospital Queen Elizabeth II, di sini hari ini, sempena Sambutan Hari Pembantu Perubatan Peringkat Negeri Sabah 2025.

James menyampaikan sijil penghargaan kepada salah seorang penderma darah.
Program tersebut dilaksanakan di 16 lokasi berbeza di seluruh negeri, bermula pada 10 Mac lalu di Hospital Tawau dan dijadual berakhir pada 28 April di Hospital Pitas.
Ia bertujuan meningkatkan kesedaran awam tentang kepentingan menderma darah secara berkala serta menggalakkan penglibatan masyarakat dalam menyumbang kepada bekalan darah negeri.
James berkata, amalan menderma darah bukan sahaja dapat menyelamatkan nyawa, malah merupakan satu bentuk amal kebajikan yang wajar digalakkan dalam kalangan masyarakat.
Beliau turut menyeru rakyat Sabah agar menjadikan pendermaan darah sebagai satu tanggungjawab sosial yang berterusan.
Sementara itu, Ketua Penolong Pegawai Perubatan Negeri Sabah, Ahmad Syamsul Rezali memaklumkan bahawa objektif utama program ini adalah untuk mengumpul sebanyak mungkin beg darah dalam tempoh masa singkat bagi menampung keperluan mendesak di hospital-hospital negeri.
Menurutnya, program ini juga merupakan penghargaan kepada warga Penolong Pegawai Perubatan yang menjadi tunjang penting sistem perkhidmatan kesihatan negeri. Mereka bukan sahaja memainkan peranan di hospital, malah aktif turun padang dan mendekati masyarakat.
“Keterlibatan masyarakat dalam program derma darah ini menunjukkan adanya hubungan erat antara warga kesihatan dan komuniti setempat. Ia turut mencerminkan tahap kesedaran masyarakat yang semakin tinggi terhadap tanggungjawab sosial dan kepentingan penjagaan kesihatan bersama,” katanya.
Beliau turut menggalakkan orang ramai untuk menjadi penderma darah tetap, bukan hanya semasa program dianjurkan, tetapi secara konsisten sepanjang tahun. Ini penting bagi memastikan bekalan darah di negeri ini sentiasa mencukupi untuk menghadapi sebarang kemungkinan, termasuk kecemasan dan bencana.


































