PAPAR: SJM Pickleball Mixed Doubles Mini Tournament 2025 mencipta sejarah tersendiri apabila berjaya diadakan dengan meriah di Papar, melibatkan penyertaan 32 pemain daripada 16 pasukan.
Kejohanan ini adalah hasil kerjasama erat antara Kelab Peminat Acara Lasak Sabah Labuan dan Casero Events, dengan sokongan padu daripada Kelab Belia KDCA, Kiihoii.Com, Atukoi FM, Kelab Tuaran/Tamparuli Pickleball, Belia/Beliawanis PBS N27 Limbahau, serta Pejabat UPPM N27 Limbahau.
Keputusan rasmi kejohanan menyaksikan tempat pertama dimenangi oleh pasangan Stefan Walter Sundang Alex dan Chong Siaw Shan. Naib juara disandang oleh Roger Lim dan Belinda Tan. Tempat ketiga pula milik Desmond Guansing dan Janiece Chong, manakala tempat keempat diraih oleh Sidney Guansing dan Winnie Han.

Majlis penutup telah disempurnakan oleh Presiden Kelab Peminat Acara Lasak Sabah Labuan, Steve Johnny Mositun, yang juga merupakan Pengarah Urusan Casero Events. Dalam ucapannya, beliau menyatakan keyakinan terhadap masa depan sukan ini di Sabah.
“Biarpun Pickleball merupakan sukan baharu di Sabah, dengan pengalaman kami sejak 2010, kejohanan ini menjadi satu bentuk pelancongan sukan yang mampu menarik minat pemain dari luar ke Papar. Kami akan terus mengangkat sukan ini demi pembangunan komuniti.”
Turut hadir memberikan sokongan ialah Datuk Johnny Mositun, yang menekankan kepentingan kepimpinan belia.
“Saya amat berterima kasih kerana pemimpin muda memainkan peranan penting dalam menjayakan acara seperti ini. Mereka adalah masa depan kita. Sukan bukan hanya tentang pertandingan, tetapi jalan mengeratkan perpaduan dan menjaga kesihatan.”
Sementara itu, Pengerusi Penganjur, Jay Jay Chrystie turut berkongsi keterujaannya terhadap sambutan positif para peserta:
“Saya amat berterima kasih kepada Steve Johnny Mositun kerana memberikan kepercayaan kepada kami. Ini adalah langkah pertama ke arah memperkenalkan budaya sukan baru yang inklusif dan menyeronokkan.”
Pihak penganjur turut merakamkan penghargaan kepada semua penaja dan penyokong, termasuk minuman bertenaga oleh Eureka, baucar tajaan Headhunter, serta ARISE sebagai bola rasmi kejohanan.
































