Operasi SAR diteruskan untuk budak perempuan hilang di laut di Sandakan. -Ihsan Bomba
SANDAKAN: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) bagi insiden mangsa lemas di laut berhampiran Dewan Masyarakat Bandar Jalan Costel, di sini, kini memasuki hari ketiga dengan fokus utama pencarian seorang mangsa yang masih hilang.
Dalam kejadian pada 30 Mac itu, seorang wanita dewasa berusia 29 tahun berjaya diselamatkan oleh orang awam dan menerima rawatan awal sebelum dihantar ke Hospital Sandakan menggunakan jentera EMRS.
Dua mangsa lain, iaitu lelaki berusia 22 tahun dan budak lelaki berusia lima tahun, telah ditemukan meninggal dunia.
Bagaimanapun, seorang kanak-kanak perempuan berusia enam tahun masih belum ditemui, dan operasi pencarian terus dipergiatkan.
Menurut Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), panggilan kecemasan mengenai kejadian itu diterima pada 30 Mac 2025 jam 1.13 pagi, dan pasukan penyelamat tiba di lokasi pada 1.20 pagi.
Operasi SAR dijalankan oleh sepasukan lima anggota diketuai oleh PBK II Chauslin Sunsubin dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sandakan, dibantu oleh PDRM (5 anggota), APM (7 anggota) dan APMM (8 anggota).
Pada hari ketiga operasi SAR (1 April), pasukan penyelamat memulakan pencarian pada jam 6:41 pagi dengan radius pencarian sejauh 4 kilometer, menumpukan sepenuhnya kepada pencarian kanak-kanak perempuan yang masih hilang.
Operasi ini menggunakan sebuah bot aluminium dan sebuah kenderaan pacuan empat roda (Vigo), dengan kekuatan empat anggota.


































