BANGKOK: Sekumpulan petugas perubatan dari Hospital Besar Polis di Bangkok, Thailand mendapat pujian ramai selepas gambar mereka menjalankan pembedahan di kawasan terbuka tular, ekoran gempa bumi yang melanda semalam.
Menurut Utusan Malaysia, gambar dikongsi oleh pengguna media sosial Facebook menarik perhatian netizen yang menyifatkan mereka sebagai wira barisan hadapan dan memberikan sokongan penuh terhadap dedikasi pasukan perubatan itu.
Menurut Dr. Toey atau nama sebenarnya Waranyu Jiramrit, beliau dan pasukannya sedang menjalankan prosedur kolostomi ke atas seorang pesakit ketika gempa bumi sedang berlaku.
“Kami hampir selesai menutup luka di bahagian abdomen pesakit apabila gegaran berlaku, menyebabkan kami segera memindahkannya ke lokasi yang lebih selamat di luar bilik pembedahan,” katanya kepada The Nation.
Selepas menilai keadaan, pasukan perubatan mendapati pesakit perlu segera menjalani pembedahan bagi menutup luka tersebut kerana jika dibiarkan terbuka, ia boleh mengakibatkan usus terkeluar atau terdedah kepada udara luar, sekali gus meningkatkan risiko komplikasi.
Atas faktor kecemasan, pasukan perubatan mengambil keputusan untuk meneruskan pembedahan di luar bilik bedah dan berjaya menyelesaikannya dalam masa hanya 10 minit.
Tambah Dr. Toey, meskipun pembedahan dilakukan di luar persekitaran hospital yang biasa, aspek keselamatan dan kebersihan tetap diutamakan dengan penggunaan sarung tangan serta peralatan steril seperti dalam pembedahan medan perang.
Pesakit kini dilaporkan berada dalam keadaan stabil dan sedang menjalani pemulihan di wad hospital.
“Saya sendiri tidak tahu gambar kami menjadi tular dan menerima begitu banyak pujian. Saya hanya menjalankan tugas sebagai doktor untuk menyelamatkan nyawa pesakit sebaik mungkin,” katanya.


































