Perdana Menteri Thailand, Paetongtarn Shinawatra (tengah) bergambar bersama anggota kerajaan selepas terselamat dalam undi tidak percaya di Parlimen di Bangkok, semalam.
BANGKOK: Perdana Menteri Thailand, Paetongtarn Shinawatra terselamat daripada undi tidak percaya di Parlimen semalam, dalam ujian awal terhadap kestabilan kerajaan pimpinannya selepas dua hari diasak bertubi-tubi oleh pembangkang.
Menurut Utusan Malaysia, Paetongtarn, 38, yang merupakan perdana menteri termuda dalam sejarah Thailand, memperoleh sokongan 319 daripada 488 anggota Parlimen yang hadir.
Usul undi percaya itu merupakan ujian pertama terhadap mandat Paetongtarn, lebih daripada tujuh bulan selepas beliau muncul di pentas politik sebagai pendatang baharu yang belum pernah memegang jawatan awam, menggantikan sekutunya, Srettha Thavinsin.
Dalam sesi perbahasan yang disiarkan secara langsung, beliau teruk diserang dengan dengan pelbagai dakwaan termasuk dituduh gagal mengurus ekonomi dengan baik, mengelak cukai dan membenarkan bapanya, Thaksin Shinawatra mencampuri urusan pentadbiran kerajaan.
Parti Move Forward, blok pembangkang terbesar di Parlimen, menjadikan hubungan rapat Paetongtarn dengan bapanya sebagai sasaran utama dalam serangan politik kali ini.
Walaupun mendapat penarafan kurang memberangsangkan dalam tinjauan pendapat dan pertumbuhan ekonomi jauh ketinggalan berbanding negara serantau, undian pada Rabu membuktikan gabungan 11 parti Paetongtarn masih kukuh, sekali gus mengurangkan prospek ketidakstabilan jangka pendek di negara yang sering berdepan kemelut politik itu.
Paetongtarn, yang merupakan ahli keempat dalam keluarga Shinawatra yang menduduki jawatan tertinggi kerajaan, menolak semua tuduhan yang dilemparkan terhadapnya.
“Setiap undi, baik yang menyokong atau menentang, akan menjadi kekuatan bagi saya dan Kabinet untuk meneruskan kerja kami kepada rakyat,” kata Paetongtarn dalam hantaran di media sosial X.
Thaksin, seorang jutawan dan bekas perdana menteri, terus menjadi tokoh kontroversi dalam politik Thailand selama 24 tahun, selepas dihukum penjara kerana salah guna kuasa serta konflik kepentingan.
Beliau hidup dalam buangan selama 15 tahun sebelum kembali ke Thailand pada 2023.


































