Mohd. Arsad menyerahkan geran tanah kepada seorang daripada penerima.
KOTA BELUD: Setelah lebih tiga dekad menanti, impian sebahagian penduduk Tempasuk untuk memiliki geran tanah akhirnya menjadi kenyataan.
Bagi penerima, geran tanah ini bukan sekadar dokumen pemilikan, tetapi simbol hak milik yang telah lama dinantikan oleh keluarga mereka. Walaupun ada penerima yang telah meninggal dunia sebelum sempat melihat geran sendiri, waris yang hadir menganggapnya sebagai hadiah bermakna menjelang Aidilfitri.
Salah seorang penerima, Farid Othman, 46, berkongsi bahawa permohonan bagi geran tanah ini dibuat oleh arwah bapanya ketika masih bekerja, namun hanya kini berjaya diperoleh hasil inisiatif kerajaan negeri.
“Sebelum ini geran ini dipohon waktu arwah bapa masih bekerja lagi. Tapi bila dia sudah bersara dan meninggal dunia, belum lagi kami dapat terima geran.
“Tapi alhamdulillah, hari ini di bawah Datuk Mohd. Arsad Bistari, inisiatifnya dapat juga rakyat Tempasuk di kawasan Taun Gusi menerima geran yang sekian lama kita tunggu,” katanya.
Seorang lagi penerima, Mahmud Ansit, 57, turut berkongsi pengalaman keluarganya yang menunggu lebih 30 tahun untuk memperoleh hak milik tanah mereka.
“Setelah penantian selama lebih kurang 30 tahun lebih, pada hari ini kami sudah dapat geran, bermakna hak mutlak terhadap tanah tersebut.
“Kalau mengikut sejarah dulu, memang tanah ini daripada arwah bapa kami buat permohonan dan memang menunggu masa yang agak lama,” katanya.
Sementara itu, Kassim Etong, 54, menyatakan rasa syukur selepas berulang kali berusaha mendapatkan geran tanahnya sebelum akhirnya berjaya dalam Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sekarang.
“Alhamdulillah, syukur. Begitu susah payah saya berusaha untuk mendapatkan geran tanah, banyak kali berulang-alik ke Jabatan Tanah, namun berterima kasihlah dalam Kerajaan GRS ini saya menerima geran tanah,” katanya.
Usaha Kerajaan Negeri Percepat Pengeluaran Geran
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tempasuk, Datuk Mohd. Arsad Bistari menjelaskan bahawa usaha Kerajaan Negeri bukan sahaja menyelesaikan isu permohonan tanah yang tertangguh sejak puluhan tahun lalu, tetapi juga mempercepatkan pengeluaran geran menerusi Program PANTAS yang akan memanfaatkan 400 penerima.
“Sekarang ini untuk DUN Tempasuk, kita ada tujuh mukim, dan untuk geran PANTAS ini, tiga mukim terlibat dalam proses penyukatan tanah.
“Contohnya, di Tempasuk, bulan Mei ini kita akan serahkan geran kepada 400 penerima. Fasa kedua pula di Mukim Keguraan dan fasa ketiga di Mukim Rosok,” katanya.
Majlis penyerahan 55 geran tanah melibatkan kawasan seluas 3,854 ekar telah diadakan pada Majlis Iftar Silaturahim anjuran Pusat Khidmat Rakyat DUN Tempasuk kelmarin.


































