TOKYO: Banduan paling lama di dunia yang menunggu hukuman mati menerima pampasan AS$1.4 juta (RM6.2 juta) selepas sabitan terhadapnya dibatalkan.
Menurut Utusan Malaysia, jumlah pampasan itu bersamaan dengan 12,500 yen (RM368) untuk setiap hari selama lebih empat dekad yang dihabiskan oleh Iwao Hakamada dalam tahanan, kebanyakannya di sel hukuman mati di mana setiap hari boleh menjadi hari terakhir baginya.
Bekas peninju yang kini berusia 89 tahun itu dibebaskan selepas diisytiharkan tidak bersalah tahun lalu atas empat pembunuhan pada 1996 sehingga menyebabkan beliau terpaksa dipenjara selama lebih empat dekad.
Mahkamah Daerah Shizuoka dalam keputusan kelmarin berkata, penuntut akan diberikan 217,362,500,000 yen, menurut jurucakap mahkamah kepada AFP.
September lalu, mahkamah yang sama turut memutuskan Hakamada tidak bersalah dalam perbicaraan semula selepas didapati polis memanipulasi bukti.
Beliau sebelum ini mengalami proses soal siasat tidak perikemanusiaan yang memaksanya mengaku bersalah, tetapi kemudian menarik balik pengakuan tersebut.
Jumlah pampasan itu adalah yang tertinggi pernah diberikan bagi kes seumpamanya, lapor media tempatan.
Namun, pasukan undang-undang Hakamada menegaskan wang tersebut tidak setimpal dengan penderitaan yang dialaminya.
Hakamada adalah banduan hukuman mati kelima dalam sejarah pasca perang Jepun yang diberikan perbicaraan semula.
Kesemua empat kes sebelumnya juga berakhir dengan pembebasan.


































