Penunjuk perasaan dalam kalangan guru menyekat dua pintu Lapangan Terbang Antarabangsa Mexico City, semasa protes menentang reformasi undang-undang pencen.
MEXICO CITY: Protes guru mencetuskan kekacauan di lapangan terbang antarabangsa Mexico City, dengan ribuan penunjuk perasaan menghalang jalan menuju ke terminal.
Menurut Utusan Malaysia, ramai penumpang terpaksa meninggalkan teksi mereka dan berjalan dengan bagasi untuk mengelakkan tertinggal penerbangan.
Demonstrasi yang berlangsung selama beberapa jam itu menyebabkan ketegangan antara pemandu dan penunjuk perasaan yang menentang reformasi pencen.
Kumpulan penunjuk perasaan terdiri daripada ribuan guru dan tenaga pengajar itu juga bertindak mendirikan ratusan khemah di Zocalo, dataran awam utama di Mexico City, bagi menuntut pemansuhan pembaharuan sistem pencen.
“Kami sudah terlambat, dan ini menambahkan lagi kelewatan,” kata seorang warga Colombia berusia 27 tahun, Fabio Lorens kepada AFP sambil berjalan kaki membawa bagasinya.
Lapangan Terbang Antarabangsa Benito Juarez adalah yang terbesar di Mexico dan antara paling sibuk di Amerika Latin, dengan mengendalikan 45.3 juta penumpang pada tahun lalu.


































