KOTA KINABALU: Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) mengambil maklum isu keadaan tempat letak kereta di Hospital Queen Elizabeth II (HQE II) yang sering mengalami banjir dan berlubang, menyebabkan kesulitan kepada pesakit, pelawat, serta kakitangan hospital.
Dalam satu kenyataan hari ini, Pengarah Kesihatan Negeri Sabah, Dr. Maria Suleiman menjelaskan bahawa kawasan parkir tersebut adalah tanah milik Qhazanah Sabah Berhad yang dipinjamkan secara ihsan untuk kegunaan awam.
Tapak ini boleh menampung kira-kira 300 kenderaan dan digunakan sebagai alternatif kepada parkir hospital yang terhad.
Namun, keadaan cuaca yang tidak menentu sejak kebelakangan ini menyebabkan kawasan itu kerap bertakung air dan berlubang, menjejaskan keselesaan pengguna.
Menurut Dr. Maria, JKNS serta pihak hospital memahami kesulitan ini dan sedang berusaha mencari penyelesaian terbaik. Perbincangan telah diadakan bersama pemimpin tempatan dan pihak berkepentingan bagi mengenal pasti langkah-langkah penambahbaikan yang lebih efektif.
“Keutamaan kami adalah memastikan aksesibiliti yang lebih baik kepada pesakit, pelawat, dan kakitangan hospital,” katanya.
JKNS turut mengalu-alukan kerjasama semua pihak, termasuk pemimpin tempatan dan pihak berkepentingan, dalam mencari penyelesaian terbaik demi keselesaan pengguna hospital.