Redonah (dua dari kiri) menyampaikan sumbangan kepada Jainab di Masjid Nurush Syifaa, Kampung Ongkilan, Kota Marudu, semalam.
KOTA MARUDU: Biro Hal Ehwal Wanita Masjid Nurush Syifaa, Kampung Ongkilan, Kota Marudu telah menganjurkan Program Sahur Mega yang menyediakan juadah sahur secara beramai-ramai.
Program ini telah dirasmikan oleh Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri, Datuk Redonah Bahanda.
Dalam majlis tersebut, Redonah menyatakan rasa teruja kerana dapat bersahur bersama-sama serta menunaikan solat berjemaah, sesuatu yang jarang diadakan di peringkat kampung.
Katanya sedikit sebanyak, mengembalikan perasaan beliau ke zaman kanak-kanak semasa remaja ketika menyambut Ramadhan di kampung halaman dahulu.
Beliau turut berkongsi pengalaman semasa kecil mengenai cabaran untuk bangun sahur.
“Ketika zaman kanak-kanak, ibu bapa kita terpaksa berkali-kali mengejutkan kita untuk bangun sahur. Alhamdulillah, dengan didikan dan pengalaman itu, serta keinsafan sendiri, apabila dewasa kita lebih teratur dan istiqamah dalam bangun awal untuk bersahur serta menunaikan solat Subuh. Ini adalah sebahagian daripada didikan Ramadan yang kita lalui setiap tahun,” ujarnya.
Turut hadir dalam program itu ialah Ketua Biro Hal Ehwal Wanita Masjid Nurush Syifaa Kg. Ongkilan, Jainab Mahmood, serta ahli jawatankuasa program.
Menurut Redonah, penganjuran Sahur Mega ini memberi banyak manfaat kepada masyarakat setempat, antaranya mempererat hubungan silaturahim dan menggalakkan kerjasama dalam kalangan ahli kariah ketika membuat persiapan sahur.
“Selain itu, program ini juga memberi peluang kepada golongan kurang berkemampuan untuk menikmati juadah sahur yang disediakan oleh pihak penganjur. Ia turut mendidik modal insan Kampung Ongkilan mengenai cara mengelola sesuatu acara serta memupuk semangat kerjasama dan ibadah secara berjemaah,” katanya.
Beliau menekankan kepentingan program sebegini dalam membentuk generasi muda sebagai pemimpin masa depan.
“Ilmu seperti ini perlu dimanfaatkan kerana generasi muda adalah tonggak kepimpinan masa depan, sama ada di peringkat tinggi mahupun di peringkat kampung. Seperti pepatah, melentur buluh biarlah dari rebungnya,” tambahnya.


































