MADRID: Penerbangan transatlantik dari Madrid ke Caracas berdepan detik cemas, apabila seorang penumpang cuba membuka pintu kecemasan ketika pesawat berada di udara.
Menurut Utusan Malaysia, insiden mengejutkan itu berlaku dalam Plus Ultra Penerbangan 701 pada 28 Februari lalu, ketika pesawat jenis Airbus A330 itu sedang merentasi Lautan Atlantik menuju ke ibu negara Venezuela.
Menurut saksi, kejadian berlaku apabila seorang lelaki secara tiba-tiba melompat dari tempat duduknya sebelum berlari ke arah pintu kecemasan dan cuba menarik tuas pintu tersebut.
Tindakan itu menyebabkan penumpang lain panik dan menjerit sebelum kru kabin segera campur tangan bagi menghalang lelaki berkenaan.
Rakaman video kejadian menunjukkan lelaki itu berdiri di pintu kecemasan sebelum beberapa kru kabin bertindak pantas menariknya menjauhi kawasan tersebut.
Beberapa penumpang dan kru penerbangan kemudian menahan tindakan suspek dan mengikat tangannya ke belakang bagi mengelakkan sebarang ancaman lain.
Dia kemudian diawasi rapi sehingga pesawat mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Simón Bolívar, Caracas lebih awal daripada jadual dan ditahan oleh pihak berkuasa Venezuela untuk siasatan lanjut.
Jurucakap Plus Ultra dalam satu kenyataan memaklumkan, sebelum kejadian, penumpang terbabit mengganggu individu di sebelahnya dengan menjerit dan menampar penumpang yang sedang tidur.
Walaupun kejadian tersebut mencetuskan kekecohan, pakar penerbangan menjelaskan pintu kecemasan pesawat moden seperti Airbus A330 mustahil dibuka di udara kerana perbezaan tekanan udara di dalam dan luar kabin yang sangat tinggi, selain adanya sistem kunci keselamatan.
Plus Ultra merupakan syarikat penerbangan Sepanyol yang menawarkan penerbangan berjadual antara Madrid dan beberapa negara di Amerika Latin.


































