JAKARTA: Ribuan penduduk di ibu negara Indonesia terpaksa dipindahkan selepas banjir besar melanda wilayah itu sejak 3 Mac lalu, susulan hujan lebat berterusan, kata pihak berkuasa semalam.
Menurut Utusan Malaysia, Agensi Pengurusan Bencana Negara (BNPB) memaklumkan, hujan lebat sejak Ahad menyebabkan beberapa kawasan di Jakarta dan sekitarnya ditenggelami air setinggi tiga meter, sekali gus menghalang laluan utama serta menenggelamkan lebih 1,000 kediaman dan kenderaan.
Gabenor Jakarta, Pramono Anung menaikkan tahap amaran banjir kepada kedua tertinggi dan mengarahkan pihak berkuasa tempatan mengaktifkan pam air bagi menyedut banjir di kawasan terjejas serta melaksanakan operasi pengubahsuaian cuaca.
Operasi itu lazimnya melibatkan pembenihan awan dengan menembakkan suar garam ke dalam awan bagi mencetuskan hujan sebelum ia sampai ke daratan.
Sementara itu, media tempatan melaporkan, sebuah hospital di bandar Bekasi turut dinaiki air sehingga memasuki beberapa wad, memaksa pesakit dipindahkan ke bangunan lain disamping bekalan elektrik di sebahagian hospital juga terputus.
Pasukan penyelamat menggunakan bot getah meredah air setinggi paha bagi memindahkan penduduk yang terperangkap di kawasan perumahan di Bekasi sejak pukul 4 pagi waktu tempatan.
Ketua Agensi Meteorologi, Klimatologi dan Geofizik (BMKG), Dwikorita Karnawati memberi amaran hujan lebat dijangka berterusan di Jakarta dan bandar sekitarnya sehingga 11 Mac ini.
“Kita perlu sentiasa berwaspada… namun diharapkan operasi pengubahsuaian cuaca dapat mengurangkan hujan,” katanya.
Sementara itu, Menteri Hal Ehwal Sosial, Saifullah Yusuf berkata, kerajaan membina pusat pemindahan sementara serta mengagihkan makanan, pakaian dan ubat-ubatan kepada mangsa banjir.
Mangsa turut ditempatkan di sekolah, masjid dan gereja bagi memastikan keselamatan mereka terjamin.
Wilayah metropolitan Jakarta yang menempatkan lebih 30 juta penduduk sering dilanda banjir saban tahun. Namun, media tempatan melaporkan situasi kali ini, terutama di Bekasi, adalah yang terburuk sejak 2020.
Banjir besar pada 2020 telah meragut 60 nyawa di Jakarta susulan hujan lebat paling ekstrem sejak rekod cuaca mula direkodkan pada 1866.


































